Halaman

22 August 2011

KRT BANDAR JERTIH DIPILIH PENGANJUR KEM SUKAN MILO

Oleh: Mohammad Ishak


DATUK Dina (empat dari kiri) mengadakan sesi taklimat kepada jawatankuasa KRT Bandar Jertih

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jertih, Besut, mencatat sejarah apabila dipiih sebagai penganjur Kem Sukan Milo yang akan berlangsung di Padang Sekolah Kebangsaan Pusat Jertih, 15 Oktober depan.

Pemilihan KRT Bandar Jertih oleh penaja utama syarikat pengeluaran minuman terkemuka itu disifatkan sebagai satu pengiktirafan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan kerana ia sekaligus mewakili Terengganu.

Pengerusi Sports Unite, Datuk Dina Rizal, berkata pemilihan KRT berkenaan menepati kreatiria yang dikehendaki oleh penaja kerana keaktifannya menganjurkan pelbagai program komuniti selain pernah menggondol pelbagai anugerah diperingkat daerah, negeri dan kebangsaan

Katanya, pihaknya yakin KRT terbabit mampu mengendalikan beberapa acara sukan yang akan dipertandingkan yang turut membabitkan kanak-kanak bawah 12 tahun

“Hanya satu KRT dari setiap negeri dipilih untuk menadi penganjur program berkenaan manakala syarikat terbabit menyediakan peruntukan,” katanya ketika sesi taklimat kepada jawatankuasa KRT Bandar Jertih, di Pusat Rukun Tetangga (PRT) Jertih,hari ini.

Dina berkata, seramai 320 peserta terdiri daripada kanak-kanak berusia 12 tahun akan mengambil bahagian dalam tiga acara sukan yang ditetapkan iaitu bola sepak, bola jaring dan bola keranjang.

Beliau berkata, pihaknya merancang setiap negeri akan menganjurkan sukan berkenaan bertujuan menarik minat kanak-kanak di peringkat sekolah rendah supaya meminati sukan.

Katanya, semua program yang dirancang sepanjang tahun ini membabitkan penyertaan ahli Rukun Tetangga dan komuniti setempat.