Halaman

22 August 2011

Kerajaan bertindak atas kepentingan orang Melayu

Oleh: Esah Abdullah

Demi mempertahankan hak orang Melayu untuk mengekalkan kependudukan dalam kawasan bandaraya, kerajaan bertindak mengambil balik tanah-tanah yang terdapat di Kampung Tanjung untuk dimajukan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan sedar bahawa tanah di kawasan terbabit merupakan tanah hak milik dan sudah terjual kepada individu lain sedikit demi sedikit.

“Kita mahu orang Melayu kekal pada tempat asal mereka dan kerana ingin pertahankan hak mereka, kita ambil tanah berkenaan tujuan untuk dimajukan,” katanya ketika sesi penggulungan wakil kerajaan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri yang bermula hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan pembangkang (Pas-Ladang) bahawa kerajaan telah menganiaya dan merampas tanah orang Melayu untuk pembangunan.

“Kerajaan BN tidak pernah berlaku zalim sebaliknya sentiasa mengambil berat keperluan golongan miskin dengan menghulur pelbagai bantuan,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan memerlukan peruntukan tambahan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan (RM105,543,600) dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Terengganu (PTG) (RM50 juta) dengan jumlah keseluruhan adalah RM155,543,600.

“Peruntukan ini membabitkan pembinaan istana baru di Bukit Chendering (RM40 juta) manakala selebihnya bagi pembiayaan 21 projek perumahan kos rendah dan rumah mampu milik,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad meluahkan rasa dukacita kerana Dato’ Tengku Hasan Tengku Omar (Pas-Ladang) ) selaku mantan Pengarah PTG buat-buat tidak faham tentang proses pengambilan tanah dan menyalahkan kerajaan dalam isu berkaitan.

Katanya, hampir kesemua wakil pembangkang tidak faham tentang keperluan bajet untuk projek khas berkenaan dan apa yang kerajaan buat untuk kepentingan golongan miskin selalu disalah tafsir.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) sangat mengambil berat pemasalah rakyat walaupun sudah jelas mereka yang menduduki tanah kerajaan tidak layak dibayar pampasan tapi kita beri saguhati dan penempatan baru kepada yang terbabit,” katanya.