Halaman

13 August 2011

Cukuplah menderma untuk PAS

Oleh FAUZI MOHD



Ahli dan penyokong PAS yang rasa tertipu dengan janji pemimpin mereka untuk menubuhkan negara Islam, dinasihatkan supaya tidak lagi membazirkan wang menderma kepada parti itu.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, ramai penyokong PAS terutamanya di peringkat akar umbi yang selama ini sudah banyak berhabis wang dan harta demi perjuangan parti itu sudah mula berfikir untung nasib mereka.

Katanya, ramai penyokong PAS tersentak dengan sikap gelojoh pemimpin parti itu menggantikan perjuangan negara Islam kepada negara berkebajikan demi meraih habuah lebih besar dengan menawan Putrajaya.

"Pemimpin PAS dilihat makin moden. Selain bernafsu besar untuk memiliki pejabat lebih selesa di Putrajaya, slogan parti mereka dah bertukar, imej dah bertukar, bangunan mereka makin besar dan mesyuarat di hotel-hotel mewah.

"Satu perkara yang masih tidak berubah sejak dulu hingga sekarang iaitu amalan mengutip derma daripada penyokong mereka setiap kali parti itu anjurkan ceramah," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pembahagian dana Hari Raya Aidilfitri kepada lebih 400 penerima di Sekolah Kebangsaan Padang Kubu, Kijal, Kemaman, hari ini. Turut hadir, isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Norliza Mahmud.

Tambah Dato' Seri Ahmad, bagi memastikan parti itu terus bertahan, PAS akan melakukan apa sahaja termasuk memperjudikan kesucian agama Islam, asalkan cita-cita mereka untuk berkuasa tercapai.

"PAS sanggup buat macam-macam. Tukar slogan, tukar Timbalan Presiden lantik Mat Sabu (Mohammad Sabu), buang ulama, buat demontrasi, pakai baju kuning dan sebagainya.

"Itu semuanya kerana mahu menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. PAS tak ada cita-cita pun nak jadi Perdana Menteri. Pemimpin mereka buat itu semua kerana Anwar bukan kerana penyokong PAS di kampung-kampung," ujarnya.

Kata Menteri Besar, rakyat terutama peminat setia majlis-majlis ceramah PAS diingatkan berhati-hati dan berfikir panjang sebelum menderma kepada tabung parti itu.

"Setiap duit walaupun satu sen yang didermakan itu tidak pernah diaudit dan pemimpin Pas boleh buat apa saja ke atas duit tersebut.

"Cukuplah menderma untuk PAS. Parti itu sudah cukup kaya sekarang. Derma yang dihulurkan hanya untuk mengenyangkan perut-perut pemimpin PAS," ujarnya.