Halaman

16 August 2011

BN bentuk kerajaan hasil sokongan rakyat

Oleh: Kamarudin Mat Akib



“Saya sudah kata dan saya ulang lagi sekali (bahawa) saya dan anggota Kabinet tidak rela menjadi Perdana Menteri serta Menteri tanpa sokongan daripada rakyat."

“Saya sudah kata dan saya ulang lagi sekali (bahawa) saya dan anggota Kabinet tidak rela menjadi Perdana Menteri serta Menteri tanpa sokongan daripada rakyat,” itulah ungkapan yang lahir dari hati luhur Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Beliau membuat pengumuman yang tentunya mengejutkan banyak pihak, termasuk parti-parti pembangkang dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang pro-pembangkang pada majlis berbuka puasa dengan media di Wisma Bernama, Kuala Lumpur, petang kelmarin.

Bagi membuktikan keluhuran dan kesucian perjuangan beliau dan Kerajaan Barisan Nasional (BN), Perdana Menteri mengumumkan pembentukan sebuah Jawatankuasa Pemilih Parlimen yang akan dianggotai wakil kerajaan BN dan parti pembangkang untuk membincangkan reformasi pilihan raya yang perlu dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Langkah tersebut bertujuan membolehkan kata sepakat dicapai untuk mengendalikan pilihan raya akan datang tanpa sebarang perasaan syak wasangka kononnya kerajaan telah melakukan manipulasi seperti yang dipertikaikan pembangkang dan beberapa NGO.

Perdana Menteri turut menjelaskan jawatankuasa yang akan dibentuk dalam waktu terdekat itu adalah tindak balas proaktif kerajaan BN bagi menangani pertikaian mengenai pilihan raya bebas dan adil yang dibangkitkan pihak tertentu baru-baru ini sehingga mencetuskan pelbagai pendapat serta polemik.

“Kami hanya akan menubuhkan kerajaan sekiranya terbukti rakyat benar-benar memilih kerajaan BN. Inilah yang saya hendak sampaikan bahawa jangan ada sesiapa salah anggap kita (kononnya) tidak inginkan proses bersih dalam memilih kerajaan. Kita komited untuk meneruskan tradisi demokrasi berparlimen yang sudah dimulakan oleh pengasas kita sebenarnya,” lagi luahan hati Perdana Menteri.

Walaupun proses pilihan raya di negara ini antara yang paling bersih di dunia, pihak pembangkang masih tidak puas hati dan sering mengecam dan melontarkan pelbagai tohmahan buruk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) – sebuah badan bebas yang mengendalikan pilihan raya di negara kita.

Tanpa sebab yang kukuh dan munasabah, SPR sering menjadi sasaran pihak pembangkang, terutama jika mereka kalah dalam pilihan raya sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil.

Tetapi yang peliknya, apabila calon mereka menang, tidak ada pula pujian atau kata-kata manis dilontarkan kepada SPR sebagai tanda ucapan terima kasih.

Lebih pelik lagi, calon pembangkang yang menang mengambil elaun sama ada sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) apabila mereka menang bertanding pada pilihan raya berkenaan.

Kemuncak rasa tidak puas hati terhadap SPR (atau mungkin juga sebagai batu loncatan atau sebab untuk mengadakan demonstrasi) parti pembangkang dan NGO yang pro-pembangkang telah mengadakan Himpunan Bersih yang merugikan banyak pihak, khususnya para peniaga.

Ironinya tindakan perarakan itu tidak relevan dengan prosedur khidmat pelanggan yang sedia ada di SPR yang sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan.

Mereka tetap meneruskan himpunan haram itu walaupun dilarang keras oleh pihak berkuasa dan peniaga yang sudah dapat menghidu akibat daripada perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Kita mengharapkan dengan langkah yang diambil kerajaan untuk membentuk Jawatankuasa Pemilih Parlimen ini akan memuaskan hati semua pihak yang selama ini masih ragu-ragu dengan proses pilihan raya di negara ini.

Kita juga mengharapkan mereka tidak lagi melakukan perhimpunan atau sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan moral dan merugikan rakyat Malaysia.