Halaman

17 August 2011

Anak-anak Terengganu memang hebat

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Suriati Ali



Empat anak Terengganu melakar sejarah tersendiri apabila kejayaan mereka berjaya mengharumkan nama Terengganu dalam bidang pendidikan, sekaligus membanggakan penduduk tempatan.

Mohd Firdaus Samsuddin, 23, dari Kampung Kemat, Hulu Terengganu, yang baru saja menamatkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang Bioteknologi di Imperial College, London, ditawarkan melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka dunia, Universiti Oxford, akhir tahun ini.

Beliau yang merupakan antara lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2005 terbaik di peringkat kebangsaan, ditawarkan mengikuti pengajian peringkat sarjana di bidang Sains Biochemistry di universiti berkenaan.

Manakala pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Lau Jia Cheng terus melakar kejayaan apabila ditawarkan melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi di University Of Cambridge, London, September ini.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman yang memperoleh 14 A1 itu amat gembira dengan tawaran tersebut yang menjadi impiannya sejak di bangku sekolah.

Beliau yang begitu meminati mata pelajaran Matematik dan Ekonomi berharap kejayaannya menjadi pembakar semangat kepada pelajar lain, termasuk dua adiknya yang masih belajar untuk turut cemerlang.

Seorang lagi pelajar tempatan, Adik Nurul Nadiah Wahidah Azhar, 12, dari Seri Bandi, Kemaman, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Perdana Pelajar Cemerlang Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2010, yang diumumkan baru-baru ini.

Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Seri Bandi itu mendapat kelulusan seratus peratus bagi semua lapan mata pelajaran peperiksaan UPKK yang didudukinya pada bulan Oktober tahun lalu.

Dia yang mendapat markah 800/800 dalam UPKK menerima anugerah tersebut pada satu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berikutan kejayaan itu Nurul Nadiah yang bercita-cita mahu menjadi guru, menerima wang tunai RM1,500, plak dan sijil penghargaan.

Sementara itu, kejayaan adik Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi, 12, yang berjaya mewakili Malaysia ke Pusingan Akhir Tilawah al-Quran Kanak-kanak Peringkat Antarabangsa di Qatar, akhir Ramadan ini, membanggakan semua pihak terutama ibu bapanya.

Pertandingan anjuran Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar dan saluran kanak-kanak stesen televisyen, al-Jazeera adalah kali kedua diadakan di mana tahun lalu peserta Maghribi memenangi pertandingan itu.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Besut itu sudah lama bersedia untuk membawa nama Terengganu dan Malaysia di pertandingan yang melibatkan dua lagi peserta lain iaitu Yaman dan Maghribi.