Halaman

12 August 2011

650 terima duit raya

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELLA SABERI
Gambar HARISH FADZILLAH





Seramai 650 pelajar sekolah, warga emas dan golongan kurang berkemampuan menerima duit raya yang disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said dan isteri, To' Puan Seri Norliza Mahmud, petang semalam.

Sumbangan tajaan Lembaga Tabung Haji dan syarikat pegangan pelaburan milik kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd. (EPIC) diadakan sempena majlis berbuka puasa peringkat Daerah Kemaman di Masjid Kampung Air Putih.

Menteri Besar dalam ucapannya berkata, kemakmuran ekonomi negeri dan negara membolehkan banyak syarikat yang beroperasi menghasilkan keuntungan di samping memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.


Katanya, sumbangan bercurah-curah daripada institusi korporat kepada golongan yang tidak bernasib baik itu menunjukkan hasil yang dijana organisasi berkenaan dikongsi bersama dengan masyarakat setempat.

"Tanpa suasana makmur dalam negara dan dasar-dasar terbaik daripada kerajaan, tidak mungkin syarikat-syarikat itu mampu mencipta pulangan yang baik daripada pelaburan mereka.

"Inilah yang kita harapkan. Pencapaian yang mereka perolehi dikongsi bersama dengan insan yang memerlukan khususnya menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar, Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Ramli Shahul Hameed, Pengarah Tabung Haji negeri, Mohammad Mokhzani Mukhtar dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohd. Kamil Othman.

Majlis anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman itu dihadiri kira-kira 2,000 penduduk sekitar daerah berkenaan.