Halaman

19 August 2011

140 pesakit Hospital Kemaman terima kunjungan Menteri Besar

Oleh FAUZI MOHD

Kedukaan dan kesakitan yang dialami oleh 140 pesakit di Hospital Kemaman, Chukai, mungkin sedikit terubat apabila menerima kunjungan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said, hari ini.



KLIK UNTUK BERITA DAN FOTO

Selain bertanya khabar, kunjungan sempena Program Ehsan Ramadan anjuran Pergerakan Puteri UMNO negeri itu, turut menyampaikan hamper raya kepada pesakit hospital berkenaan.

Ketua Puteri UMNO negeri, Asfalinda Anuar berkata, program itu antara lain bagi mendekatkan pemimpin dengan rakyat terutama mereka yang sedang menerima rawatan di hospital.

Katanya, kunjungan yang turut disertai isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Norliza Mahmud itu merupakan sebahagian daripada Program Puteri Prihatin (3P) untuk mendekati pelbagai golongan khususnya wanita muda.

"Hasrat Pergerakan Puteri, mahu penglibatan seberamai ramai ahli di peringkat bahagian atau cawangan dalam program-program kemasyarakatan agar kepimpinan puteri dekat dengan msyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program itu, hari ini. Turut hadir, Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Ahmad Nizam Wan Abd. Hamid, Ketua Pemuda UMNO Kemaman, Mohd. Hisham Zubir.

Tidak ketinggalan, Skuad Sayang Wanita UMNO Kemaman bersama Ketuanya, Rohani Abdullah.

Tambah Asfalinda, program bersama pesakit di semua hospital daerah di Terengganu itu akan diteruskan ke Hospital Daerah Hulu Terengganu dan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti.