Halaman

23 August 2011

10 badan kebajikan terima sumbangan RM100,000

Oleh FAUZI MOHD

Sebanyak 10 badan kebajikan di negeri ini menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM100,000 daripada Kerajaan Negeri sempena Aidilfitri pada Majlis Berbuka Puasa 1Malaysia di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, petang semalam.

Sumbangan yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said itu diberikan kepada penerima yang terdiri daripada pertubuhan dan rumah kebajikan orang kelainan upaya (OKU), warga emas, anak yatim dan golongan yang kurang berkemampuan.

Menteri Besar dalam ucapannya berkata, menerusi bantuan itu Kerajaan Negeri berharap dapat meringankan beban golongan yang tidak berkemampuan dan membawa keriangan sama seperti insan lain dalam menyambut kedatangan Aidilfitri.

“Ia selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri yang mahukan kebajikan rakyat diutamakan dan mahu nasib golongan kurang berkemampuan diberikan perhatian,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, para pemimpin negeri dan masyarakat dari pelbagai kaum termasuk Cina dan India.

Menerima sumbangan itu, Persatuan Orang-Orang Pekak Terengganu sebanyak RM15,000; Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (RM10,000); Persatuan Orang Kurang Anggota Terengganu (RM15,000) dan Persatuan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Terengganu (RM15,000).

Selain itu, Persatuan Sindrom Down Terengganu menerima RM5,000; Asrama Darul Falah, Persatuan Kebajikan Islam Terengganu (Perkasa) (RM10,000) dan Asrama Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim (Perkaya) (RM15,000).

Turut mendapat perhatian, Rumah Sejahtera Taman Bahagia, Bukit Payong, Marang dan Pertubuhan Kebajikan Warga Tua Nurul Saadah, Besut dan Majlis Pusat Kebajikan Malaysia Daerah Besut masing-masing menerima RM5,000.

Sementara itu, seramai 50 anak yatim daripada sekolah-sekolah Daerah Setiu turut menerima duit raya berjumlah RM100 setiap seorang daripada Dato’ Seri Ahmad.