Halaman

28 July 2011

YT tarik balik tajaan biasiswa pelajar dikesan sertai Bersih

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan Terengganu (YT) akan menarik balik biasiswa enam penuntut tajaannya yang dikesan berhimpun di Dataran Hayyu Asyier, Kaherah, untuk menyatakan sokongan padu terhadap perhimpunan haram Bersih di Kuala Lumpur, pada 9 Julai lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri sedang mengenal pasti mereka yang terlibat dan meminta menunjukkan surat tunjuk sebab terlebih dahulu sebagai memberi peluang membela diri.

“Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu menaja mereka supaya belajar dan bukan bertujuan bermain politik dan berdemontrasi. Lima hingga enam orang sudah dikenalpasti melalui gambar, mereka memakai baju kuning tertera Bersih .

“Kita kenal pasti mereka pelajar kita dan kita tidak akan bertindak terhadap pelajar lain kecuali pelajar tajaan Yayasan Terengganu sahaja,” katanya ketika sidang selepas Melancarkan Ihya' Ramadan Peringkat Negeri Terengganu dan Dokumentari Syahadah Musim Ke-7, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Ustaz Khazan Che Mat; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ewal Pengguna negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar; Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Dato’ Nohyati Ismail; Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohd Rozali Salleh.

Menteri Besar berkata, penajaan terhadap pelajar terbabit kemungkinan ditarik balik sekiranya kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan jawapan yang dikemukakan mereka menerusi surat tunjuk sebab nanti.

“Kalau kita tidak puas hati dengan jawapan dalam surat tunjuk sebab, kita akan tarik balik (penajaan). Kita bagi peluang terlebih dahulu kepada mereka yang terdiri daripada pelbagai jurusan dan pengajian,” katanya.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga kesal dengan kerenah pelajar dari negeri ini khususnya yang mendapat tajaan YT untuk mengikuti pengajian di Mesir kerana gagal mendapatkan ijazah selepas menghabiskan masa dalam tempoh yang lama di negara Timur Tengah itu.

Katanya, ada pelajar yang berada di Mesir sehingga 22 tahun yang masih lintang pukang menggunakan bahasa Arab kerana mereka didapati terpesong daripada tujuan sebenar ke negara itu.

]“Mereka tidak mengikuti kelas dan belajar dengan betul serta gagal menamatkan pengajian, malah ada melibatkan diri dalam usrah. Sebenarnya itu bukan usrah tetapi perhimpunan politik.

“Perhatikan gelagat mereka yang langsung tidak menggambarkan sebagai seorang pelajar lepasan ijazah dari Mesir apabila bertempik, bersorak dan bercakap tanpa adab,” katanya.

Sementara itu, Haji Md Kamaru al-Amin berkata, hampir 1,000 pelajar Terengganu mengikuti pelbagai pengajian di Mesir dan 400 daripada mereka mendapat penajaan YT, manakala selebihnya menggunakan kewangan sendiri.