Halaman

10 July 2011

Terima kasih daun keladi

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak, khususnya kerajaan negeri dan jabatan-jabatan kerajaan yang membantu menjayakan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia, yang berakhir malam tadi.

Naib Yang Dipertua Serikandi, To’ Puan Hajah Sabariah Dato’ Muhammad Yusof, berkata pihaknya berpuas hati kerana berjaya menganjurkan program kali ini dengan penuh gemilang.

“Rata-rata kontinjen yang terlibat puas hati dan memuji kelancaran program, termasuk penempatan peserta dan pengangkutan sepanjang empat atau lima hatri mereka berada di Terengganu,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Beliau berkata, sebagai tuan rumah Terengganu berusaha menyediakan kemudahan dan perkhidmatan terbaik kepada semua kontinjen.

“Kita telah banyak belajar dari negeri-negeri lain yang menjadi tuan rumah sebelum ini supaya kita menjadi tuan rumah terbaik,” katanya.

Penat lelah Serikandi dan pelbagai agensi kerajaan membantu mengadakan persiapan bagi program ini sejak lebih dua minggu lalu berbaloi apabila ia mendapat pujian Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Datin Paduka Seri Rosmah Mansor.

Isteri Perdana Menteri menyifatkan penganjuran Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 mencapai matlamat terutama dalam membentuk persefahaman dan kemesraan di kalangan isteri wakil rakyat BN dari seluruh negara.

Sambil mengucapkan tahniah dan syabas kepada Serikandi sebagai tuan rumah, Datin Paduka Seri Rosmah berharap semangat setiakawan yang dibentuk melalui program itu diteruskan supaya negeri yang dikuasai parti pembangkang dapat dapat ditawan semula oleh BN pada pilihan raya umum akan datang.

To’ Puan Sabariah berkata, kerjasama dan sikap ‘sporting’ kontinjen juga banyak membantu pihaknya menjayakan program tersebut.