Halaman

16 July 2011

Sepuluh hotel baru sedia 926 bilik di seluruh Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Sepuluh premis hotel baru yang menyediakan 926 unit bilik sedang rancak dibangunkan bagi menambah jumlah hotel dan chalet sedia ada di seluruh Terengganu.

Pembinaan hotel baru itu juga bagi menampung kehadiran pelancong domestik serta antarabangsa yang semakin meningkat ke negeri ini terutama pada musim cuti persekolahan serta terdapat pelbagai penganjuran acara kebangsaan dan dunia.

Sehingga kini, sebanyak 9,086 unit bilik yang terdapat di chalet dan hotel seluruh Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata hotel baru yang sedang dalam pembinaan termasuk Motel Kijal Drive Inn (288 unit bilik), Terengganu Equestrian Resort (200 unit bilik), Hotel YDSM, Lembah Bidong (174 unit bilik) dan Santina Resort Teluk Bidara, Dungun yang menyediakan 88 unit bilik.

Selain itu, Teluk Dalam Resort, Perhentian Besar (52 unit bilik); Quinara Village Resort, Tok Jembal (48 unit bilik);Forty One Recreation Resort (48 unit bilik); Anggerik Villa Resort, Ayer tawar, Besut (18 unit bilik) dan Teluk Bakau Resort, Pulau Redang (10 unit).

Katanya, penambahan bilik dan hotel baru itu turut menyumbang peluang pekerjaan kepada 1,087 orang penduduk tempatan.

“Pertambahan hotel baru sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama negara dan sumber pertumbuhan baru ekonomi negeri.

“Malah, Terengganu juga berhasrat meningkatkan kadar kedatangan pelancong sebanyak 25 peratus setahun bagi tempoh 2009 hingga 2013 yang digerakkan melalui pelbagai usaha berterusan termasuk promosi dalam dan luar negara serta penganjuran acara pelancongan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Antara penganjuran program pelancongan antarabangsa termasuk Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun (Pulau Duyong, Kuala Terengganu); Kapas-Marang International Swimathon; Terengganu Master Golf Invitational; Perhentian Island Challenge dan Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu.