Halaman

10 July 2011

Semarak semangat berdepan pilihan raya-MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Kehadiran semua isteri wakil rakyat yang berkampung di Terengganu sempena Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia (PTIWRBNM) 2011 diharap mampu menyemarakkan lagi semangat bagi berdepan pilihan raya akan datang, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Beliau berkata, isteri wakil rakyat yang menyertai perlawanan badminton umpamanya, sanggup cedera ketika di gelanggang masing-masing demi memastikan lawan tidak mendapat kemenangan dengan mudah.

“Melihat kepada kesungguhan para isteri ketika di gelanggang dan peranan mereka yang sentiasa bersama suami demi menyokong perjuangan suami sebagai wakil rakyat, maka mereka juga berperanan dalam memastikan Barisan Nasional menang dengan cemerlang pada pilihan raya nanti,” katanya ketika berucap pada majlis 'Malam Sentuhan Songket’ sempena penutup PTIWRBNM 2011 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak dan isteri yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Datin Paduka Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri merangkap Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Hajah Noorainee Abd Rahman.

Hadir sama, Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Terengganu (Serikandi), To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu bersama isteri masing-masing.

Menteri Besar berkata, walaupun Terengganu tersohor sebagai negeri yang cemerlang dalam pendidikan dan sukan di negara ini, namun di kalangan persatuan isteri wakil-wakil rakyat Barisan Nasional seluruh negara, Serikandi tidaklah sehebat mana.

Pun begitu, Serikandi sebagai hos program yang diadakan di setiap negeri dalam tempoh 15 tahun ini tetap menunjukkan peningkatan dan menampilkan persembahan yang meyakinkan dalam pelbagai acara selain turut memberi cabaran kepada semua pasukan yang bertanding.