Halaman

30 June 2011

Pemimpin masyarakat DUN Telemong bantah Perhimpunan Bersih

Oleh: Aida Abd Rahman



Kira-kira 100 pemimpin masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong membuat laporan polis bagi membantah penganjuran Perhimpunan Bersih pada 9 Julai ini.

Laporan yang dibuat di Balai Polis Kuala Berang, kira-kira jam 10 pagi, semalam melibatkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, ketua cawangan, Puteri Umno, kakitangan Ahli Dewan Undangan Negeri, Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu dan Pusat Teknologi Maklumat DUN Telemong.

Mereka bersepakat membuat laporan itu sebagai tanda sokongan membantah sekeras-kerasnya perhimpunan yang boleh mencetuskan suasana tidak aman dan tenteram di kalangan masyarakat negara ini.

Pada masa yang sama, perhimpunan haram itu juga jelas menjejaskan keselamatan negara, menimbulkan perasaan gentar dan bimbang di kalangan orang ramai serta menjejaskan sektor ekonomi mahupun pelancongan negara.



“Perhimpunan itu bukan hanya mengganggu ketenteraman awam, amalan tidak sihat itu juga boleh menjejaskan keyakinan para pelabur untuk memasuki negara ini, sekaligus memberi impak negatif serta imej yang buruk kepada negara di mata masyarakat luar,”kata wakil seorang pemimpin masyarakat yang tampil membuat laporan itu.