Halaman

27 July 2011

Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Terengganu 2011



Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu telah dirasmikan oleh YAB Dato' Sei Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Pelancaran Kibar Jalur Gemilang bertemakan "1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera" adalah tanda bermulanya perayaan Bulan Kemerdekaan sehingga berakhir pada 16 September 2011. Sepanjang tempoh Bulan Kemerdekaan ini, pelbagai aktiviti dan perayaan berteraskan semangat patriotik akan diadakan bagi melahirkan rakyat Malaysia yang cintakan negara serta melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT di atas nikmat pembangunan dan keamanan yang dikecapi kini.

Pihak Kerajaan Negeri mengharapkan Ketua-ketua Jabatan Kerajaan, Badan Berkanun, Swasta di peringkat Negeri dan Daerah serta kumpulan dan orang perseorangan akan mengibarkan jalur gemilang di bangunan-bangunan, premis perniagaan, kediaman dan kenderaan di seluruh negeri Terengganu dalam tempoh perayaan Bulan Kemerdekaan ini.