Halaman

27 July 2011

Kerajaan agih 300,000 kurma, air zam-zam sempena Ramadan

Oleh: Esah Abdullah


300,000 paket kurma dan air zam-zam akan diagihkan kepada umat Islam seluruh negeri Terengganu akan dibuat pada minggu pertama umat Islam berpuasa. - Foto: Harish Fadzillah.

Sebanyak 300,000 paket kurma dan air zam-zam akan diagihkan kepada umat Islam seluruh negeri sempena menyambut ketibaan Ramadan minggu depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pengagihan berkenaan akan dilaksanakan pada minggu pertama umat Islam berpuasa.

“Saya harap, tahun ini tidak ada mereka yang tercicir daripada menerima kurma dan air zam-zam,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Katanya, setakat ini semua bahan berkenaan sudahpun diedarkan ke pejabat daerah dan akan diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi diagihkan kepada penduduk di pedalaman.



Sementara itu seramai 25 imam dari Arab Saudi (15) dan Mesir (10) akan tiba pada 29 Julai depan untuk mengimamkan solat sunat terawih di masjid-masjid di negeri ini sepanjang bulan Ramadan.

“Daripada jumlah itu, lapan orang guru bahasa Arab dari Mesir yang sedang berkhidmat di negeri ini bersetuju menjadi imam solat terawih pada bulan puasa nanti,” katanya.

Manakala dua imam lagi dibawa khusus dari Mesir untuk menjadi imam di Masjid Kristal dan Masjid Sultan Zainal Aibidin (Putih) di bandar ini.



Sehubungan itu, seperti tahun lepas pengagihan bubur lambuk akan diadakan di Masjid Putih mulai hari pertama berpuasa.

“Sebanyak 2,000 bungkusan bubur lambuk akan diedarkan kepada orang ramai di mana program mendapat sambutan di luar dugaan daripada orang ramai di sekitar bandar raya termasuk dari daerah lain,” katanya.