Halaman

11 July 2011

Kepakaran dari Vienna, Austria latih Permata Seni Negara

Oleh: Aida Abd Rahman

Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor bersama delegasi Malaysia bakal mengadakan pertemuan dengan pengurusan Vienna Boys Choir di Palais Augarten, Vienna, Austria bagi meninjau kemungkinan mendapatkan kepakaran untuk melatih kumpulan Permata Seni Koir Negara dalam usaha mempertingkatkan mutu persembahan kanak-kanak itu.

Datin Paduka Seri Rosmah yang juga penaung Program Permata Negara, berkata rundingan dengan tenaga pengajar terkenal di dunia itu bagi mengetahui kos serta konsep latihan yang bakal dilaksanakan, sama ada menghantar beberapa wakil dari Malaysia untuk menjalani latihan di negara itu.
Bagaimanapun, beliau juga akan memastikan kepakaran yang bakal digunakan bagi melatih kumpulan kanak-kanak itu kelak menggunakan kos yang paling efektif.

Sebelum itu, beliau berkata Permata Negara terpilih daripada hampir 40 kumpulan koir ternama seluruh dunia menyertai World Peace Choral Festival yang akan diadakan di Vienna, Austria pada 25 hingga 28 Julai ini.

Kumpulan Permata Seni Koir yang menyertai festival itu akan diwakili oleh 37 orang kanak-kanak yang berusia lapan hingga 11 tahun di bawah pimpinan Syafinaz Selamat selaku konduktor.

Beliau berkata, penyertaan tersebut merupakan satu pengiktirafan besar dan amat bermakna kepada keberkesanan program Permata Seni Koir walaupun baru sahaja berusia setahun lima bulan.

"Saya merasa amat gembira kerana walaupun merupakan langkah pertama Permata Seni Koir ke peringkat antarabangsa, namun anak-anak kita telah bersedia untuk membuat persembahan pada satu acara yang berprestij," katanya selepas menghadiri raptai pembukaan kejohanan sukan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, penyertaan julung-julung kali Permata Seni Koir di dalam mana-mana acara luar negara itu juga menunjukkan bakat anak-anak yang diasah di bawah program itu kini mulai diiktiraf bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.

Selain itu, beliau turut bersetuju dengan cadangan Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) kepada beliau sebelum ini supaya menambah jumlah ahli koir itu bagi menambah keharmonian serta kemerduan paduan suara kanak-kanak itu.

Sehingga kini, katanya ibu bapa bukan tidak berminat untuk melibatkan anak mereka dalam kumpulan itu, bagaimanapun kekangan masa dan jarak jauh menyebabkan mereka yang berada di luar Lembah Kelang sukar untuk menghadiri latihan serta bengkel yang disediakan di sekitar Kuala Lumpur.

“Apabila kanak-kanak datang, ibu bapa terpaksa mengiringi anak-anak dan kosnya bukanlah rendah disebabkan kita terpaksa menjalankan bengkel itu di hotel.

"Bagaimanapun, ibu bapa gembira apabila musim cuti, anak-anak mereka datang ke Kuala Lumpur menghadiri bengkel dan mendapati anak mereka kurang duduk menghadap komputer dan `chit-chat’ yang tidak mendatangkan faedah, malahan boleh mendatangkan mudarat kepada anak-anak,” katanya.

Festival Peace Choral adalah festival berprestij tahunan anjuran The Artistic Committee of World Peace festival, Austria yang bertujuan untuk mempromosikan keamanan sejagat melalui koir oleh kanak-kanak berbakat dan antara negara yang menyertai festival tersebut termasuk China, Hong Kong, Taiwan, Czechoslovakia dan beberapa negara Eropah lain selain Malaysia.