Halaman

20 June 2011

Yayasan Terengganu sedia modul Kelas Maya

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Hazwan Rosli



Kerajaan negeri sedang merangka modul khas bagi melaksanakan Kelas Maya di sekolah-sekolah menengah di negeri Terengganu.

Bagi tujuan itu, guru-guru Sekolah Menengah Imtiaz di bawah Yayasan Terengganu ditugaskan untuk menyediakan modul berkenaan.

Buat masa ini modul bagi empat mata pelajaran iaitu Matematik, Sains, Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia sudah siap manakala bagi mata pelajaran lain dijangka siap selewat-lewatnya Ogos ini.




Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata Kelas Maya bagi pelajar sekolah menengah akan dimulakan selepas modul tersebut siap.



“Pada masa ini kita menumpukan kepada usaha-usaha memasang peralatan di sekolah-sekolah menengah berkenaan bagi menjalankan Kelas Maya,” katanya pada sidang media selepas Majlis

Penutup Program Khas Asasi Ulul Albab dan Pelancaran Modul Virtual Class Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz YT 2011 di Sekolah Menengah Imtiaz Kemaman, hari ini.



YB Ahmad Razif berkata, tujuh sekolah menengah di negeri ini dipilih sebagai projek perintis Kelas Maya, iaitu Sekolah Menengah Elit Lembah Bidong dan Mak Lagam serta lima Sekolah Menengah Imtiaz di negeri ini.

“Kerajaan negeri berharap Kelas Maya bagi sekolah menengah di negeri ini akan dimulakan pada tahun ini juga bagi membolehkan lebih ramai pelajar didedahkan kepada bidang ICT,” ujar beliau.



Beliau berkata, pemasangan peralatan di Sekolah Menengah Imtiaz Kemaman yang bernilai RM90,000 sudah pun siap manakala di sekolah Imtiaz lain akan dipasang tidak lama lagi,

“Kelas Maya di Sekolah Elit boleh dimulakan pada bulan Julai dan pelajar tingkatan satu sekolah berkenaan akan bermula selepas modul tersebut siap,” katanya.