Halaman

19 June 2011

Tuanku Mizan ketuai cabaran Malaysia -Thailand Open Endurance Challenge

Oleh: Aida Abd Rahman



Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyertai Kejohanan Malaysia –Thailand Open Endurance Challenge Trophy 11 yang berlangsung di Terengganu International Endurance Park (TIEP), di Lembah Bidong, Setiu, petang semalam.

Baginda yang mengenakan jersi nombor Sembilan menunggang kuda bernama Smith berusia sembilan tahun mengambil bahagian bagi kategori 80 kilometer bersama 53 penunggang lain termasuk tiga peserta dari Thailand.
Sementara Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail yang memakai jersi nombor 11 menunggang Coco berusia sepuluh tahun turut sama berkenaan menyertai kejohanan kali ini.



Tuanku Mizan bersama anakandanya, Tengku Muhammad Ismail yang mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) memulakan perlumbaan kira-kira jam jam 6.30 petang dan dijangka tiba di garis penamat jam 4.30 pagi ini.

Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang yang mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyempurnakan acara pelepasan itu.

Manakala Tuanku Mizan akan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang di Terrapuri Heritage Village, Kampung Mangkuk, Setiu, jam 10.40 pagi ini.

Juara bagi kategori 80 km akan menerima hadiah wang tunai USD1,000 bersama piala, tempat kedua (USD750) dan tempat ketiga USD500.

Manakala bagi kuda terbaik pula, akan menerima hadiah wang tunai USD1,000 bersama piala dan bagi berpasukan, juara akan menerima hadiah USD2,000 bersama piala, tempat kedua serta ketiga bakala menerima piala.

Bagi kategori 40 km, seramai 34 penunggang kuda mengambil bahagian termasuk puteri baginda, Tengku Fatimatuz Zahrah dari RTES dengan mengenakan jersi nombor 223 dan menunggung kuda bernama Zoreef berusia lima tahun.

Seorang peserta dari Singapura, Deli Phey Qi Xuan yang menunggang kuda bernama Pampero berusia Sembilan tahun turut mengambil bahagian dalam kategori 40 km.