Halaman

11 June 2011

Terengganu kukuh penguasaan, bolot lima emas mendayung

Oleh: Aida Abd Rahman



Terengganu terbukti mengukuhkan penguasaan dalam sukan air bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Kuala Lumpur apabila membolot lima daripada sembilan pingat emas yang ditawarkan bagi acara mendayung, sejak semalam.

Terbaru, tiga lagi pingat emas dikutip kontinjen Terengganu bagi acara mendayung yang melabuh tirai pagi ini.
Pencapaian gemilang skuad mendayung menjadikan jumlah kutipan pingat emas meningkat kepada 28, manakala tujuh pingat perak dan 12 pingat gangsa .

Sementara peratusan kutipan pingat emas keseluruhan yang diraih kontinjen Terengganu bertambah kepada 21.71 peratus.

Manakala dua lagi pingat emas yang menjadi pertaruhan Terengganu adalah menerusi acara softball lelaki dan wanita dalam perlawanan akhir yang bakal berlangsung pagi esok.

Kedudukan Terengganu dijangka kekal berdasarkan kepada senario semasa, termasuk perkembangan kontinjen Selangor yang mengekori rapat Terengganu untuk berada di tangga kedua. Selangor dijadualkan bertanding dalam empat lagi acara akhir yang menawarkan empat pingat emas, masing-masing tiga acara pada hari ini dan satu acara lagi berlangsung esok.

Selangor yang mendominasi acara di kolam renang memintas Johor dengan kutipan 23 emas, 17 perak dan 27 gangsa, diiikuti Johor di tangga ketiga dengan 19 emas, 20 perak dan 10 gangsa.

Sepuluh lagi baki pingat emas menjadi rebutan kontinjen dalam temasya yang bakal menutup tirai secara rasmi esok.