Halaman

20 June 2011

Terengganu johan keseluruhan tilawah kebangsaan 2011

Oleh: Aida Abd Rahman



Qariah Terengganu, Nor Hidayah Abd Rahman, 20, tetap berpuas hati biarpun sekadar mendapat tempat keempat qariah terbaik dalam pertandingan Tilawah Kebangsaan Ke-54 di Dewan Majlis Islam Sarawak, Kuching, yang berakhir Jumaat lalu.

Nor Hidayah dari Kampung Ladang Bari, Sungai Tong, Setiu membawa cabaran negeri ke pertandingan peringkat kebangsaan selepas dinobatkan johan qariah sempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Terengganu 2011 Kali Ke-54, di Stadium Tertutup Kompleks Gong Badak, Kuala Terengganu, pada 12 Mei lalu.
“Ini penyertaan kali kedua saya di peringkat kebangsaan dan kejayaan membawa pulang Piala Pusingan Johan Keseluruhan Tilawah Kebangsaan (2011) ini amat bermakna buat saya, walaupun secara peribadi saya hanya memperolehi tempat keempat keseluruhan qariah terbaik,” katanya.

Nor Hidayah selamat tiba bersama keluarga dengan diiringi pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bersama piala kemenangan itu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut meluangkan masa menyambut ketibaan mereka sebagai menghargai kejayaan bermakna anak Terengganu dalam bidang agama itu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Ustaz Khazan Che Mat; timbalannya, YB Haji Muhammad Ramli Nuh; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris dan Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohd Rozali Salleh.

Menurut Nor Hidayah lagi, kejayaan membawa pulang trofi juara keseluruhan itu memberi perangsang buatnya melakukan lebih baik pada masa depan dan terus berusaha memajukan diri dalam bidang berkaitan keagamaan.

Selain kejayaan membangggakan Nor Hidayah, Qari Terengganu, Ahmad Tirmizi Ali, 26, pula memenangi tempat ketiga yang membawa pulang RM5,000, piala iringan, hadiah iringan dan sijil dalam pertandingan peringkat kebangsaan yang bermula 13 Jun lalu.

Sementara Nor Hidayah yang memenangi tempat keempat mendapat saguhati berupa wang tunai RM2,000, hadiah iringan dan sijil.

Seramai 29 qari dan qariah dari seluruh negara mengambil bahagian pada tilawah kali ini yang bertemakan '1Malaysia, 1Ummah" .