Halaman

10 June 2011

Terengganu hampiri hatrik juara Sukma

Oleh: Aida Abd Rahman



Terengganu hampir mencatat hatrik selaku juara Sukan Malaysia (Sukma) apabila masih kekal berada di tangga teratas senarai pungutan pingat antara 14 kontinjen yang bertanding di temasya Sukma Ke-14 Kuala Lumpur pada hari kesembilan, hari ini.

Kedudukan di tangga pertama masih belum digugat mana-mana kontinjen selepas merampasnya daripada Johor sejak hari kedua temasya bermula.

Malah, Terengganu terus menjarakkan kedudukan dengan kontinjen di tangga kedua, Johor apabila memungut dua lagi pingat emas menerusi acara mendayung individu wanita dan berpasukan lelaki, hari ini.

Dengan jumlah kutipan 42 pingat melibatkan 25 emas, enam perak dan sebelas gangsa, kontinjen `Terengganu Hanelang’ kini mencapai 19.38 peratus kutipan pingat emas keseluruhan.Sementara kontinjen Johor turut kekal di tangga kedua dengan 18 pingat emas, 17 perak dan tujuh gangsa.

Hanya tinggal kurang dua peratus sahaja lagi bagi kontinjen Terengganu untuk mencapai sasaran 27 emas yang diuar-uarkan sebelum temasya bermula.

Keputusan itu semakin memberi khabar gembira untuk Terengganu muncul juara Sukma buat kali ketiga berturut-turut selepas meraihnya ketika menjadi tuan rumah pada temasya 2008 dan Sukma Melaka 2010.