Halaman

16 June 2011

Tarik minat orang muda serta aktiviti berfaedah

Oleh; Esah Abdullah



Gelanggang futsal bernilai RM150,000 begitu besar manfaatnya kepada masyarakat setempat untuk beriadah terutama golongan belia untuk bermain futsal, sepak takraw dan bola jaring.

Ahli Perlimen Setiu, YB Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee ketika merasmikan gelanggang berkenaan di Kampung Gong Lingai, Batu Rakit berkata, usaha kerajaan ke arah mewujudkan golongan belia yang sihat dan cergas terus diperkasakan.

“Kerajaan akan wujudkan lebih banyak kemudahan beriadah di kampung-kampung yang dilihat mampu menarik minat golongan muda untuk menyertai aktiviti yang berfaedah,” katanya.

Katanya, usaha ini juga bagi mengelak mereka menyertai aktiviti liar termasuk merempit yang menimbulkan masalah kepada orang ramai.

Sehubungan itu beliau bersetuju untuk memasang lampu limpah berhampiran gelanggang berkenaan bagi menghidupkan suasana malam sekali gus dapat meningkat ekonomi penduduk.

“Dengan adanya lampu limpah masyarakat di sini dan kawasan sekitar boleh lakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan kerana pada siang hari kebanyakkan mereka keluar bekerja,” katanya.

Katanya, segala kemudahan yang diberikan ini membuktikan kerajaan sentiasa memastikan pembangunan di kawasan luar bandar tidak terpinggir.

Beliau berharap semua kemudahan yang disediakan kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya di samping dapat mengeratkan perpaduan antara penduduk setempat.