Halaman

15 June 2011

Ulamak dapat terima kebaikan kerajaan- Haji Khazan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri tidak pernah bimbang untuk melahirkan lebih ramai ulamak dan pemimpin agama dalam negeri serta negara kita walaupun ada pihak beranggapan golongan itu lebih cenderung untuk menyokong parti pembangkang.

“Lazimnya ramai yang mengatakan orang yang belajar agama lebih cenderung kepada pembangkang, namun pada pandangan saya dan pendirian kerajaan semakin seseorang faham mengenai agama (Islam), semakin seseorang akan memahami serta dapat menerima apa sahaja kebaikan yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini,” katanya Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan kitabMatla' al-Badrain Wa Majma' al-Bahrain dan tujuh buku baru terbitan Yayasan Islam Terengganu (YIT) dengan kerjasama Kerajaan Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh dan Pengarah YIT, Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail.

YB Haji Khazan berkata, perkembangan itu juga memperlihatkan bahawa sejak dulu lagi Kerajaan Barisan Nasional dan Umno tidak pernah kekurangan ulamak yang sentiasa mendukung segala hasrat dan misi kerajaan sehinga berjaya melaksanakan segala pembangunan bersandarkan syariat Islam.

“Perkembangan mutakhir yang ditunjukkan dalam pembangkang, apa yang dilaksanakan kerajaan negeri kini menepati sert a tidak bercanggah dengan agama. Dulu mereka kata tidak boleh bekerjasama dengan orang bukan Islam, bagaimanapun kini mereka pun buat,”katanya lagi.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa peka dengan pendidikan dan pelaksanaan syariat agama yang menepati dengan konteks negara serta ianya boleh dinilai berdasarkan kepada pelbagai perubahan yang memberi manfaat kepada masyarakat sehingga kini.

Menurutnya, pelbagai tuduhan yang dilontarkan oleh pembangkang kepada kerajaan, namun kerajaan tetap konsisten sejak dulu lagi bagi melaksanakan pendidikan serta syariat agama dalam sistem pentadbiran termasuk memperbaharui sistem kewangan, perbankan dan memperkenalkan bank Islam.

“Boleh dikatakan semua sistem bank yang satu masa dulu mengamalkan sistem konvensional mengubahnya kepada perbankan Islam dalam perkhidmatan mereka kerana sistem itu lebih baik, adil dan dapat diterima oleh masyarakat,” katanya.

Malah, negara kita juga mendahului negara lain dalam memperkenalkan sistem pajak gadai Islam, ar-Rahnu dan insurans Islam.