Halaman

28 June 2011

Serikandi sudah bersiap sedia

Oleh: Esah Abdullah



“Kami tidak akan memberi laluan mudah kepada pihak lawan untuk mengutip kemenangan di sini,” kata Ketua Kontijen pasukan Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) , To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.

Katanya, jika sebelum ini pasukan Bakti dari Wilayah Persekutuan yang diketuai Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Sabah dan Perak merupakan pasukan pilihan dalam kejohanan Sukan Isteri wakil-wakil rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia,

“Tahun ini Serikandi selaku tuan rumah akan membuat kejutan dan kami sudah membuat persiapan rapi untuk memberi tentangan hebat dalam dua sukan yang dipertandingakan iaitu badminton dan boling,” kata To’ Puan Seri Hajah Norliza yang juga isteri Menteri Besar Terengganu.



Kejohanan sukan berkenaan akan di adakan pada 5 hingga 9 Julai depan yang disertai 14 pasukan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Pasukan Serikandi dibarisi 12 pemain badminton di bawah bimbingan jurulatih Syed Abu Bakar Syed Ali dan 10 pemain boling bertekad untuk memperbaiki kedudukan rekod pasukan sebelum ini.

“kami sudah berlatih sejak akhir tahun lepas lagi dan mulai Jun kita berlatih setiap hari di bawah pengawasan jurulatih Syed Abu Bakar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menjalani latihan di Stadium Negeri semalam.



Katanya, untuk mengukur tahap kemampuan barisan pemain beberapa, perlawanan persahabatan diadakan antaranya dengan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita), Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) dan beberapa pertubuhan wanita dalam negeri.

Katanya, dua piala utama menjadi rebutan dalam kejohanan sukan berkenaan iaitu Piala Perdana 1Malaysia (badminton) dan Piala Kejohanan Boling di mana Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijangka hadir untuk majlis penutup serta menyampaikan hadiah kepada pemenang.