Halaman

23 June 2011

SEM asah bakat pelajar

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri memberi komitmen tinggi kepada penganjuran pameran Schoolwide Enrichment Model (SEM) yang mampu mengasah bakat, potensi dan kreativiti pelajar di samping menjadikan proses pembelajaran lebih mencabar dan seronok.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, program ini mula diperkenalkan di Universiti of Connecticut, Amerika Syarikat.

“Sehingga ini 85 guru telah dihantar berkursus di universiti berkenaan yang bermula sejak 2005 hingga sekarang,” katanya kepada pemberita di majlis perasmian Pameran SEM di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) petang semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin; Ketua Sektor Akademik Pejabat Pelajaran, Haji Zubir Embong dan Pengerusi T'Contra, Encik Mazlan Che Wil.

Katanya, usaha ini semata-mata untuk meningkatkan mutu kecemerlangan pendidikan di negeri ini di mana pelajar didedahkan dengan cabaran dunia sebenar supaya mereka bukan sahaja berjaya dalam akademik malahan juga menjadi pekerja cemerlang bila berada di dunia sebenar.

Menurut YB Haji Ahmad Razif, hasil penggabungan guru-guru dari sekolah kementerian, yayasan dan agama negeri yang mengikuti kursus di universiti itu lahirlah PersatuanPendidikan Bestari Negeri Terengganu (T’Confra) pada Mac lalu.

“T’Confra berfungsi sebagai badan penyumbang idea-idea penggayaan untuk kecemerlangan pendidikan dan memastikan program SEM dilaksanakan di sekolah-sekolah melalui kursus-kursus yang diadakan untuk guru-guru,” katanya.

Menurutnya pameran yang berlansung selama tiga hari bermula 21 Jun lalu diserta 24 buah sekolah elit, premier, Imtiaz dan agama negeri merangkumi 96 projek membabitkan 384 pelajar serta 120 guru pengiring.

Sementara itu Sekolah Menengah Agama (SMA) Atas Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk memenangi tempat pertama dalam kategori Inovasi Terbaik, Dokumentasi Terbaik dimenangi SMA Khairiah Kuala Terengganu manakala Both Terbaik SMK Tengku Lela Segara, Marang.