Halaman

29 June 2011

Rombongan Dagang New Zealand intai peluang pelaburan di Terengganu

Oleh: Esah Abdullah

Keyakinan dan kepercayaan terhadap potensi pelaburan yang boleh diceburi di bumi Terengganu, delegai dagang yang mewakili beberapa syarikat dari New Zealand diketuai Pengarah Urusan New Zealand Unlimited Sdn Bhd, Mr Richard Tankersley telah membuat kunjungan sehari ke negeri ini.

Delegasi seramai 19 orang itu berpecah kepada tiga kumpulan dan melawat tiga sektor iaitu pembangunan pelancongan di Tasik Kenyir, Pusat Pembiakan dan Ternakan Tersat, Hulu Terengganu serta Projek Taman Ilmu di Besut.

Manakala lima yang lain terdiri daripada Mr Richard Tankersley dan Ketua Pegawai Kewangannya, Mr. Roger Skillen; Setiausaha Dewan Perniagaan Malaysia New Zealand, JP Sevaran Kaur; Setiausaha Pelaburan dan Ekonomi Suruhanjaya Tinggi New Zealand, Ms. Shannon Auatin dan Pengerusi Selset New Zealand Centre Sdn Bhd, Ir Yong Kee Chiang menjadi tetamu kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Wisma Darul Iman.

Pertemuan dan perbincangan yang berlangsung hampir sejam itu kemudiannya beralih ke majlis taklimat yang berkisar mengenai agenda Pembangunan Negeri Terengganu disampaikan Timbalan Pengarah (Sektoral) Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Haji Tun Ahmad Faisal Tun Abd. Razak.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, YB Toh Chin Yaw berkata, mereka amat berminat untuk menyertai beberapa peluang perniagaan di negeri ini termasuk bidang pelancongan, pendidikan dan pertanian.

“Dengan peluang melawat tempat-tempat berkenaan, mereka sudah ada gambar mengenai potensi yang boleh disertai di sini,” katanya kepada Teganukita selepas menyertai pertemuan wakil New Zealand dengan Menteri Besar, di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman semalam.

Katanya dalam perjumpaan itu juga, mereka telah menawarkan kepada kerajaan untuk memberi ruang kepada pelajar di negeri ini mengikuti kursus dalam bidang-bidang tertentu di negara berkenaan termasuk usahasama dengan universiti tempatan di sini.