Halaman

29 June 2011

Rampasan peralatan kes SMS ugut ikut prosedur

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pegawai Penyiasat kes ugutan bunuh melalui SMS yang membabitkan bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, iaitu Datuk Dr.Ahmad Ramzi Mohd Zubir, memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa semua peralatan berhubung kes berkenaan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.

ASP Mohd Hadzwan Zulkefle memberitahu mahkamah pihaknya mengisi borang yang disedikan bagi mencatat segala butir-butir peralatan seperti telefon bimbit, kad sim dan komputer yang dikaitkan dengan kes tersebut, sebagai bahan bukti kes.

“Semua barang-barang itu ditanda dan dicatat segala butir-butir mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya pada perbicaraan hari ini.

Beliau menunjukkan kepada mahkamah semua bahan-bahan bukti berupa telefon bimbit, kad sim, komputer dan laporan analisa kandungan SMS yang dikaitkan dengan kes tersebut.

Prosiding hari ini lebih bertumpu kepada mengecam dan mengenal pasti pelbagai peralatan yang dirampas polis daripada tertuduh dan saksi-saksi yang terlibat dengan kes berkenaan.

ASP Mohd Hadzwan memberitahu mahkamah semua telefon bimbit yang dirampas daripada tertuduh dan semua saksi, termasuk tiga Ahli Dewan Undangan Negeri iaitu YB Dato’ Haji Rosol Wahid (Ajil), YB Haji Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan YB Haji Mohd Ariffin Abdullah (Paka), direkodkan mengikut peraturan.

Perbicaraan kes termasuk yang menyaksikan lebih 20 saksi memberi keterangan mereka, dilakukan di depan Hakim M.Bakri Abd.Majid.

ASP Mohd Hadzwan yang merupakan Pegawai Penyiasat kes itu merupakan saksi terakhir yang memberi keterangan dalam perbicaraan.

Dato’ Dr Ahmad Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS iaitu bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas Adun Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E-726 Kampung Kubang Parit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi Adun, Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan Dato’ Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Beliau turut didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga Adun tersebut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Dr Ahmad Ramzi turut dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019 -9158369 milik Wan Ahamad.

Tertuduh diwaklili oleh peguambela Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abdul Rahman.

Hakim M.Bakri menetapkan perbicaraan kes itu disambung semula pada 15 Ogos depan bagi memberi peluang pihak pendakwa dan peguambela menggulung hujah mereka.