Halaman

24 June 2011

Program ETA jadi program nasional

Oleh; Esah Abdullah

Program English Teaching Asisten (ETA) yang mula diperkenalkan kerajaan negeri bertujuan membantu meningkatkan penguasaan Bahasa English (BI) di kalangan pelajar di negeri ini akan menjadi program nasional mulai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, Kerajaan Pusat akan jadikan modul kerajaan negeri untuk dilaksanakan di sekolah-sekolah di seluruh negara.


“Ini satu pengiktirafan yang sangat besar apabila program yang dirintis oleh kerajaan kita menjadi ikutan orang lain,” katanya kepada pemberita di majlis perasmian Pameran Schoolwide Enrichment Model (SEM) di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Hashim Mohd Zain; Ketua Sektor Akademik JPNT, Haji Mohd Zubir Embong dan Pengerusi Persatuan Pendidikan Bestari Negeri Terengganu (T’Confra), Encik Mazlan Che Wil.

Katanya, mulai tahun depan seramai 500 guru ETA akan berkhidmat di sekolah-sekolah di seluruh negara di bawah pembiayaan pusat.

Sehubungan itu katanya, Terengganu akan menerima 17 guru BI di bawah program ETA Pusat dan 17 guru sedia ada di bawah program ETA kerajaan negeri.

“Kejayaan yang dicapai pelajar-pelajar kita adalah hasil kerja keras guru, ibu bapa dan masyarakat di samping kesediaan kerajaan yang melabur puluhan jutaan demi meningkatkan kecemerlangan pelajar,” katanya.

Mengenai pameran SEM, apa yang dihasilkan pelajar mendapat sambutan sangat baik dan ada pengunjung melahirkan rasa kagum terhadap kreativiti yang dihasilkan serta berminat membelinya,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pameran SEM yang dimulakan sejak 2007 dan diadakan dua tahun sekali akan menjadi program tahunan mulai tahun depan, membuka peluang kepada pelajar mengembangkan idea, minat dan bakat dengan menghasilkan ciptaan masing-masing untuk diketengahkan.

“Kalau tahun ini hanya 24 buah sekolah elit, premier dan Imtiaz diberi peluang menyertai pameran, harap tahun depan dapat penyertaan lebih banyak termasuk sekolah-sekolah biasa,” katanya.