Halaman

26 June 2011

Peserta PPRT urus projek Kelapa Matag

Oleh; Esah Abdullah



Kerajaan akan mewujudkan satu perkampungan baru bagi menempatkan 150 keluarga miskin di Kubang Puyu, Chalok, Langkap, Setiu untuk mengusahakan projek ladang Kelapa Matag yang diperkenalkan sebagai projek komersial.



Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris berkata, peserta yang terpilih tergolong di bawah Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan akan menerima elaun bulanan RM1,000.




“Perkembangan projek itu kini diperingkat pembersihan tapak di kawasan seluas 100 hektar dan tender pembinaan rumah peserta telah dikeluarkan,” katanya kepada pemberita di Majlis Bicara Bersama Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) di Motel Desa, Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu petang ini.

Hadir sama, Pengarah Ukom, Haji Shamsudin Sulong dan 25 orang pengamal media massa dan media eletronik di negeri ini.

Katanya, di samping rumah kediaman , turut dilengkapi beberapa kemudahan asas lain termasuk jalan raya, api, air, balai raya dan surau untuk keselesaan sebuah perkampungan baru.

Katanya, di peringkat permulaan status mereka sebagai pekerja ladang, jika mampu menunjukkan kesungguhan bekerja dan sanggup memberi komitmen penuh terhadap kerja-kerja di ladang kemungkinan akan diberi hak milik kekal terhadap tanah dan rumah yang diduduki.


Menurut YB Haji Asha’ari, kelapa jenis ini berpotensi besar di pasaran terbuka, mempunyai isi yang tebal , berbuah lebat dan harga boleh mencecah RM2 sebiji.

“Apa yang menjadi masalah sedikit ialah bekalan benihnya agak terhad, hanya 3,000 benih mampu dihasilkan dalam setahun di mana penghasilan benih melalui sistem hibrid,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan akan mengusahakan ladang ini secara berperingkat kerana menyedari permintaan terhadap buah kelapa tidak mencukupi .