Halaman

21 June 2011

Parlimen Kuala Terengganu perkenal Program Raja sehari 1Malaysia 1Pasangan

Oleh: Esah Abdullah

Sepuluh pengantin bertuah akan dipilih menerima tajaan pakej perkahwinan melalui program My Idol Raja Sehari 1Malaysia 1Pasangan di mana majlis persandingan dirancang pada 17 September depan di Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu.

Program anjuran bersama Pejabat Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu dan Agensi Pembangunan Masyarakat (APMT) Kuala Terengganu itu menjanjikan tajaan 99 peratus urusan perkahwinan mereka.



Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Farid Wan Salleh, berkata semua urusan berkaitan perkahwinan pasangan berkenaan ditanggung sepenuhnya pihak penganjur.

“Ini termasuklah kos kenduri , pengedaran kad kahwin (1,000 orang) , pelamin, pakaian, mak andam, wang hantaran (anggaran RM5,000) serta pakej bulan madu bagi setiap pasangan,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Terengganu hari ini.

Beliau berkata, mengambil kira konsep Gagasan 1Malaysia, 10 pasangan yang terpilih terdiri dari lapan pengantin Melayu dan masing-masing satu pasangan pengantin Cina dan India, dengan fokus utama membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga dengan pasangan pilihan masing-masing.

Menurutnya, pihak penganjur akan mengetengahkan tradisi perkahwinan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India sebagai asas penganjurannya selain memupuk semangat perpaduan dan kesepakatan kaum sesuai matlamat Gagasan 1Malaysia.

Penyertaan program itu terbuka kepada semua rakyat Terengganu berusia 21 tahun ke atas yang menetap dan mengundi di Parlimen Kuala Terengganu merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Batu Buruk, Wakaf Mempelam dan Bandar.

Bakal pengantin lelaki disyaratkan berpendapatan tidak melebihi RM1.500 sebulan dan mestilah perkahwinan kali pertama bagi pasangan berkenaan.

Bakal pengantin juga diminta menulis esei tidak melebihi 300 perkataan dengan tajuk ‘ kenapa saya layak dipilih’ di mana esei itu merupakan markah bonus kepada bakal pengantin yang akan dinilai oleh panel penilai pihak penganjur .

Kepada yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan di Pejabat APMT Parlimen Kuala Terengganu dan Pejabat Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu sebelum 17 Julai depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan menjadi tetamu istimewa pada malam persandingan untuk menepung tawar 10 pengantin di atas pelamin kelak.