Halaman

15 June 2011

Mengekalkan perpaduan mampu membentuk identiti 1Malaysia

Oleh: Suriati Ali



Masyarakat termasuk pelajar di negeri ini diminta mengekalkan perpaduan supaya dapat membentuk satu identiti, nilai-nilai murni dan satu perasaan kebangsaan antara pelbagai kaum.

Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Terengganu, Encik Jaafar Ismail, berkata perpaduan ialah satu proses yang boleh menyatupadukan anggota masyarakat dan negara keseluruhannya melalui ideologi negara.

Katanya, fahaman ini cukup penting supaya tiap-tiap anggota masyarakat memainkan peranan penting dalam memacu kestabilan dan kemajuan negara seperti yang disarankan pemimpin utama negara Dato, Sri Mohd Najib Abdul Razak.

“Sejak merdeka lagi, kerajaan telah memupuk semangat perpaduan dalam memakmurkan negara kita. Pelbagai dasar telah dijalankan untuk mencapai proses perpaduan ini.



“Tanpa perpaduan, negara tidak akan maju dan apa yang diimpikan tidak akan menjadi kenyataan. Oleh itu, masyarakat hari ini diingatkan supaya jangan merosakkan perpaduan yang sedia makmur ini,” katanya ketika berucap merasmikan Program Bicara 1Malaysia, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu, hari ini (15 Jun).



Majlis anjuran Jabatan Penerangan Terengganu (JPT) dengan kerjasama SMK Chung Hwa Wei Sin itu turut diselitkan ceramah 1Malaysia bertajuk: Nilai- Nilai Dalam Gagasan 1Malaysia yang disampaikan Penolong Penerangan Kuala Terengganu, Encik Safian Dhabal.

Manakala ceramah mengenai Keselamatan Jalan Raya Di kalangan Pelajar disempurnakan Ketua Operasi Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).



Sementara itu, Penolong Pengarah JPT, Encik Saharuddin Mohamed, berkata pihaknya mengambil pelbagai pendekatan bagi menerangkan teras dan nilai 1Malaysia kepada semua lapisan masyarakat termasuk di kalangan pelajar .

“Oleh itu, mereka perlu faham apa itu gagasan 1Malaysia terutama berkaitan , prinsip, perpaduan, teras dan nilai-nilai murni,” katanya.