Halaman

27 June 2011

MB minta usah percaya fitnah pembangkang

Oleh: Suriati Ali



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mendakwa terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab di negeri ini sanggup merancuni fikiran warga Felda agar tidak mempercayai apa dilaksanakan kerajaan walaupun menyedari ianya untuk kebaikan rakyat.

“Bukan itu saja mereka turut mengeluarkan fitnah semata-mata ingin mendapat sokongan selain ingin melihat rakyat Terengganu hidup dalam keadaan berpecah belah.

“Saya sebagai pemimpin dengan telus hati ingin mencabar pihak pembangkang supaya memberitahu mengenai apa lagi kebajikan yang tidak dilaksanakan kerajaan untuk rakyat,” katannya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Felda Malaysia, di Sutra Beach Resort, Merang, Setiu malam tadi (26 Jun).




Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Felda Malaysia, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Pengerusi Warga Belia Felda Malaysia, Encik Anuar Abdul Manaf dan beberapa pemimpin peringkat kampung.

Dato’ Ahmad turut memberitahu, kerajaan sudah laksanakan semuanya malah menjaga kebajikan setiap insan itu sejak dalam kandungan ibu lagi dengan memberi pelbagai kemudahan, rawatan dan jenis suntikan bagi mengelak kecacatan.

“Warga felda diminta tidak mudah mempercayai dakwaan karut yang disebarkan pembangkang kerana mereka mempunyai agenda tersendiri untuk kepentingan parti dan diri sendiri.

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, berkata keringat golongan muda Felda cukup penting kerana mampu meneruskan kelangsungan dan agenda Felda.

Katanya, Felda kini menjadi tonggak dan nadi penting untuk meningkatkan sumber pendapatan negara. Peranaan seumpama ini sewajarnya diteruskan supaya terus gah mencipta nama di persada antarabangsa.



“Fokus utama kerajaan menubuhkan Felda adalah untuk membantu golongan miskin meningkatkan taraf ekonomi keluarga sehingga mampu menikmati kehidupan lebih selesa.

“Usaha itu semakin membuahkan hasil apabila ramai anak Felda berjaya mencipta nama dalam pelbagai bidang, menjadi usahawan terkenal dan sebagainya,” katanya