Halaman

12 June 2011

Kota London jadi kenyataan

Oleh: Aida Abd Rahman


Irfan Bakti Abu Salim

Impian pemain Terengganu untuk melancong ke Kota London sebagaimana dijanjikan Kerajaan Terengganu pastinya menjadi kenyataan selepas memenangi Piala FA dalam perlawanan sengit menentang Kelantan yang berkesudahan 2-1, di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berjanji membawa skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim melawat kota kosmopolitan itu selepas melancarkan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Terengganu Sukma Ke-14 Kuala Lumpur 2011, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, pada 30 Mei lalu.

Malah, kenyataan yang sama terus diungkapkan Menteri Besar dalam pelbagai majlis rasmi serta sebagai menjawab pertanyaan media apabila mengulas mengenai perkembangan sukan bola sepak negeri.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang ditemui media di pintu masuk ruang kenamaan Stadium Bukit Jalil sebelum wisel permulaan perlawanan final antara Terengganu dan kelantan, semalam turut menegaskan pendirian beliau untuk memberikan ganjaran itu tidak berubah .

Beliau yang ditemani isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud berkata, insentif lain juga akan difikirkan kemudian bersesuaian dengan pencapaian pasukan Terengganu pada perlawanan berkenaan.

“Setakat ini apa yang kita putuskan tempoh hari tidak berubah. Untuk seterusnya saya tidak boleh beri sebarang komen lagi, biar Terengganu menang dahulu,” katanya lagi.

Malah, berbaki dua lagi perlawanan dalam Liga Super yang menyaksikan Terengganu kini berada di tangga ketiga liga,Kerajaan Terengganu masih mengharapkan pasukan Peteh mampu menjuarai liga berprestij itu sekaligus habuan mengellilingi Eropah menanti pasukan berkenaan.