Halaman

13 June 2011

Jadikan pengalaman Umno Terengganu sebagai pedoman-MB

Oleh: Aida Abd Rahman



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyarankan Umno Selangor menggandakan usaha dan mendekati masyarakat di peringkat akar umbi bagi mengembalikan negeri yang dipimpin parti pembangkang itu kepada pangkuan Barisan Nasional (BN).

Beliau turut menasihatkan Umno Selangor menjadikan langkah yang dilaksanakan Umno Terengganu menumbangkan kerajaan Pas ketika Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 sebagai pedoman terbaik.

Bagi memastikan kejayaan merampas semula Selangor di tangan kerajaan pakatan pembangkang, jentera BN terutama sayap wanita harus memastikan jumlah pengundi BN meningkat bagi menghadapi PRU ke-13 sebagai penentu kemenangan pada pilihan raya itu kelak.



"Malah, Ketua Bahagian jangan pula bermusuh dengan ketua-ketua cawangan kerana kerana pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi ini merupakan penyokong utama kepada parti dan Ketua Bahagian," katanya semasa berucap merasmikan persidangan perwakilan Wanita Umno Bahagian Tanjung Karang, Selangor, kelmarin.



Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata persefahaman dengan rakan-rakan parti komponen seperti MCA, MIC, dan Gerakan juga perlu ditingkatkan bagi mencerahkan peluang merampas kembali Selangor.

Katanya, berdasarkan pengalaman Terengganu yang pernah diperintah oleh Pas selama sepenggal (1999-2004), mengurus Umno yang merupakan parti yang kalah pada ketika itu adalah sukar berbanding dengan semasa Umno menjadi parti pemerintah.



“Tindakan Pas terhadap anggota dan pemimpin Umno telah membakar semangat untuk bangkit menewaskan Pas dan Umno Terengganu bekerja keras mengenal pasti penyokong sendiri dan penyokong pembangkang serta meningkatkan usaha mengambil hati pengundi atas pagar bagi memastikan BN kembali memerintah,” katanya.

Katanya apa yang penting anggota Umno perlu berusaha memastikan orang Melayu memahami ajaran Islam kerana PAS hanya relevan selagi orang Islam Melayu tidak faham tentang Islam.