Halaman

09 June 2011

Jabatan Perikanan pungut 90,000 telur penyu agar

Oleh: Aida Abd Rahman



Kira-kira 90,000 biji telur penyu agar berjaya dipungut Jabatan Perikanan Terengganu sejak Mac lalu sehingga kini.

Pengarahnya, Haji Zakaria Ismail, berkata semua telur berkenaan telah ditanam untuk program penetasan dan pembiakan spesies penyu itu di negeri ini.
Menurutnya, sehingga kini, hanya penyu agar dilaporkan mendarat, manakala penyu belimbing dan karah belum kelihatan mendarat dan bertelur.

Sepanjang tahun lalu, jabatan itu mengutip 397,262 biji telur penyu agar; 492 biji telur penyu belimbing; 3,480 biji telur penyu karah dan 2,422 biji telur tuntung laut.

Haji Zakaria berkata, daripada jumlah itu pihaknya berjaya menetaskan 286,503 telur penyu agar, 2,394 biji telur penyu karah dan 1,552 telur tuntung laut.

Beliau juga menjangkakan pendaratan penyu tahun ini merosot berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan pelbagai masalah termasuk gangguan di kawasan pantai.

Untuk tujuan pemuliharaan, kerajaan Terengganu merizabkan 12 kawasan bagi pemungutan telur antaranya Geliga di Kemaman, Cakar Hutan (Kerteh), Rhu Kudung, Paka (Dungun), Telaga Papan (Setiu), Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Menurutnya, pihaknya juga membeli telur penyu daripada pemajak dengan harga RM2 sebiji bagi telur agar, karah, tuntung laut dan RM5 sebiji bagi telur penyu belimbing, kata Zakaria.

Katanya, bagi tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM150,000 bagi pembelian telur dan bayaran kepada pekerja.