Halaman

19 June 2011

IQT gesa lahir qari, qariah terbaik

Oleh: Aida Abd Rahman



Institut al-Quran Terengganu (IQT) diminta supaya memperkasakan peranannya bagi melahirkan lebih ramai qari dan qariah terbaik di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata IQT mampu merealisasiikan hasrat itu sebagai mengembalikan kegemilangan yang pernah dihasilkan qari dan qariah terdahulu, terutama kejayaan, Haji Daud Che Man dan Dato’ Hajah Rogayah Sulong yang menempa nama sehingga peringkat antarabangsa.
Sebelum ini, Dato’ Seri Haji Ahmad mencadangkan supaya diadakan kelas khas khusus untuk anak Terengganu tidak terhad kepada peringkat umur bagi memastikan penguasaan mereka dalam penyampaian al-Quran dengan kaedah yang betul di IQT.



“Kita akan minta juara qari dan qariah seperti Haji Daud Che Man dan Dato’ Hajah Rogayah Sulong membantu mengajar generasi muda bagi menguasai dan membetulkan taranum supaya melahirkan lebih ramai qari dan qariah yang berkualiti dan terbaik,” katanya ketika menyambut ketibaan qari dan qariah Terengganu bersama piala pusingan johan keseluruhan sempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Ustaz Khazan Che Mat dan timbalannya, YB Haji Muhammad Ramli Nuh.

Qari dan qariah yang mewakili Terengganu, Ahmad Tirmizi Ali, 26, memenangi tempat ketiga, manakala qariah, Nor Hidayah Abd Rahman, 20, pula mendapat tempat keempat dalam tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan ke-54 yang berlangsung di Dewan Majlis Islam Sarawak yang berakhir malam kelmarin.

Sementara Qari Negeri Sembilan Amirahman Abas dan qariah Johor Suraya Abu Hassan muncul johan pertandingan itu.Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM15,000, piala pusingan, piala iringan, sijil dan pakej haji, serta mewakili Malaysia pada tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa.

Tempat kedua dimenangi qari Perak Anuar Hasin dan qariah Sarawak Roziah Ayup yang membawa pulang wang tunai RM7,000, piala iringan, hadiah iringan dan sijil. Manakala qariah Nor Azrah Ayub (johan menunggu) memenangi tempat ketiga, yang membawa pulang RM5,000, piala iringan, hadiah iringan dan sijil

Peserta lain menerima hadiah saguhati berupa wang tunai RM2,000, hadiah iringan dan sijil.

Seramai 29 qari dan qariah dari seluruh negara mengambil bahagian pada tilawah kali ini yang bertemakan '1Malaysia, 1Ummah" dan bermula 13 Jun lepas.