Halaman

12 June 2011

Imbuhan suntik semangat genggam Piala FA

Oleh: Aida Abd Rahman



Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (Peteh) berjanji akan memberi imbuhan RM1,000 kepada setiap pemain sekiranya pasukan negeri itu berjaya menjadi juara Piala FA musim ini.


Semalam, sah Terengganu menggengam antara piala berprestij dalam arena bola sepak negara itu selepas menewaskan negeri jiran, Kelantan dengan keputusan 2-1, dalam persaingan penuh mendebarkan, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Skuad Penyu menamatkan kemarau 11 tahun untuk membawa pulang piala yang dinanti-nantikan seluruh rakyat Terengganu dan dihadiahkan sempena Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Setiausaha Peteh, Encik Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata , selain imbuhan RM1,000 yang bakal diterima setiap pemain, mereka juga akan mengadakan jamuan besar-besaran sebagai meraikan kemenangan Terengganu itu.



Katanya, walaupun jumlah itu tidak besar dibandingkan usaha dan penat lelah pemain, langkah itu tetap menjadi antara sumbangan Kelab Peteh sebagai tanda penghargaan dan suntikan semangat kepada pemain berjuang berhabis-habisan pada perlawanan akhir yang memihak kepada pasukan kendalian Irfan Bakti Bakti Abu Salim itu.

Kelab Peteh menyediakan tujuh buah bas untuk membawa penyokong dan ahli kelab ke Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur untuk memberi sokongan kepada pasukan mereka.

Dalam pada itu, sokongan terhadap pemain Terengganu turut diberikan pelbagai pihak lain termasuk seorang ahli korporat di negeri ini yang menaja sepasang but baru kepada setiap pemain yang digunakan ketika beraksi semalam.

Terengganu hebat!