Halaman

17 June 2011

Cuti umum bonus buat penyokong

Oleh: Aida Abd Rahman

Cuti umum pada 19 Jun ini (Ahad ) yang diumumkan kerajaan negeri sebagai menghargai kejayaan pasukan Terengganu menjuarai Piala FA serta kontijen negeri ini yang menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 sesuatu yang amat ditunggu-tunggu seluruh rakyat Terengganu.

Seorang kakitangan swasta, Hartini Jusoh, 27, dari Kuala Terengganu berkata, pengisytiharan itu sebagai hadiah bermakna buat seluruh rakyat yang tidak jemu-jemu memberi sokongan kepada atlet Terengganu sehingga mampu meraih kejayaan berganda itu.

“Gembira dan sangat menunggu pengumuman cuti umum itu. Sekurang-kurangnya pengorbanan penyokong sukan negeri yang sentiasa berada di belakang bintang sukan turut dihargai sama,” katanya.
Pandangan itu turut disokong rakan baiknya, Nor Fadzlina Zakaria, 31, seorang pengusaha salon di Marang dan menganggap cuti yang diberikan pada hari Ahad memberi kelebihan kepada rakyat Terengganu untuk mengisi cuti hujung minggu lebih panjang dengan tambahan sehari cuti umum itu.

“Sekurang-kurangnya nikmat kejayaan pasukan bola sepak dan atlet Sukma yang muncul juara di Kuala Lumpur turut dirasai oleh semua dan kenangan indah itu harus dikenang sampai bila-bila.

“Malah, semua di kalangan kita berharap kejayaan lebih baik mampu diraih pada masa depan kerana Terengganu kini bukan seperti sepuluh tahun dulu lagi berikutan pelbagai kejayaan gemilang yang sudah dicapai dan membanggakan seluruh rakyat,” katanya.

Seorang peminat setia pasukan bola sepak Terengganu, Mazlan Yahya, 28, pula teruja dengan kejayaan gemilang yang sudah dilakarkan atlet dan pemain bola sepak Terengganu yang memahat sejarah tersendiri dalam arena sukan negara.

“Cuti umum seakan bonus untuk kita semua sebagai penyokong dan rakyat yang menantikan detik bermakna bagi merai kejayaan gemilang itu.Sokongan kita sungguh berbaloi dan kejayaan skuad bola sepak khususnya masih segar diingatan,” katanya lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengumumkan Ahad (19 Jun 2011) sebagai cuti umum bagi Terengganu sebagai menghargai kejayaan berganda dalam sukan yang diraih Terengganu itu.

“Dengan kuasa yang ada pada saya sebagai Menteri Besar, dengan ini saya mengumumkan bahawa hari Ahad ini sebagai cuti umum bagi meraikan kejayaan atlet kita,” katanya sambil diiringi tepukan gemuruh lebih 7,000 orang yang membanjiri Dataran Shahbandar bagi meraikan skuad Terengganu menggenggam Piala FA dan atlet yang menyertai kejohanan Sukma dan muncul juara kali ketiga berturut-turut, baru-baru ini.

Menteri Besar yang begitu gembira dengan kejayaan berganda ahli sukan negeri ini, berkata kerajaan negeri amat berbangga dengan kejayaan mereka dan berharap lebih banyak kejayaan dicipta atlet di masa depan.

“Kerajaan negeri tidak pernah lokek untuk memberi pengiktirafan kepada mereka yang berjaya dalam segala bidang.

“Mereka yang berjaya akan diberi ganjaran yang setimpal dengan kejayaan yang telah mereka capai,” ujar beliau.