Halaman

09 May 2011

Wujud lebih ramai pereka seni yang kreatif

Oleh: Esah Abdullah



Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah menyarankan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengadakan Pertandingan Seni Lukis dan Seni Reka dan penyertaannya dibuka kepada orang ramai bagi mengcungkil bakat baru yang terpendam.

“Pertandingan merupakan batu loncatan untuk mewujudkan lebih ramai pereka seni dan kraf yang inovatif dan kreatif,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Diploma (Simbiosis) pelajar tahun akhir Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Kampus Kuala Terengganu di Primula Beach Resort hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kampus UiTM Terengganu, Prof Madya Tengku Yusoff Tengku Mahmud dan Dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam, Dr Mustaffa Halabi Azahari.

Katanya, melalui pertandingan juga industri ini dapat dikembagkan ke peringkat global sekali gus dapat mempromosikan nama negeri ini di mata dunia.



“Ia juga boleh membuka minda pereka seni dan kraf untuk pelbagaikan serta memperkayakan reka bentuk yang moden dan terkini agar tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas,” katanya.

Dato’ Haji Mazlan berkata, kemahiran dalam penghasilan produk seni dan kraf perlu diberi penekanan khusus termasuk pendedahan kepada golongan belia untuk menceburkan diri dalam industri ini.

“Saya yakin produk kita boleh dijadikan cenderahati yang cukup eksklusif oleh pegawai kerajaan yang bertugas di luar negara sekali gus sebagai duta bagi mempromosikan hasil seni kraf tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Tambahnya, promosi dan pengiklanan dari sudut grafik dan tekstil tidak kurang pentingnya untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

Katanya, kerajaan sentiasa menyokong usaha murni pelbagai pihak termasuk UiTM dalam melahirkan graduan yang berkelayakan serta berkualiti dalam bidang seni lukis dan seni reka dan berharap lebih ramai pelapis seni budaya akan lahir di negeri ini.

Pameran Simbiosis disertai 39 orang graduan tahun akhir seni lukis dan seni reka, berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Primula Beach Resort dan terbuka kepada orang ramai mulai 9 pagi hingga 9 malam.