Halaman

21 May 2011

Warga Setiu perlu pertahankan kemenangan

Oleh: Esah Abdullah



Ketua UMNO Bahagian Setiu, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee mengajak semua ahli parti mengukuhkan barisan demi pertahankan kemenangan yang sudah ada dalam genggaman agar tidak terlepas ke tangan orang lain.



“Ingatlah, kita perlu bersama kerana kekuatan akan menjelma apabila kita bersatu,” katanya ketika berucap di Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim, Bandar Permaisuri, Setiu, semalam (20 Mei).

Persidangan perwakilan kali ke-23 itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Hadir sama Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang.

Katanya, pejuang UMNO jangan sekali-kali abaikan parti, kerana partilah yang menentukan kedudukkan kerajaan dan menzahirkan kemakmuran yang dikecapi hari ini.

“Sebagai ahli parti kita perlu berganding bersama untuk pertahankan apa yang kita miliki jangan sampai ia jatuh ke tangan orang lain,” kata Ahli Parlimen Setiu merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Dato’ Haji Mohd Jidin juga mengajak semua meneruskan agenda parti untuk raih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Menjadi asam garam dalam politik bila berlaku pergeseran, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelora, kepentingan parti tetap diutamakan,”katanya.

Dato’ Haji Mohd Jidin berkata, jentera parti bahagian Setiu sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRU sama ada tahun ini atau tahun depan.