Halaman

16 May 2011

Sokongan buat skuad Terengganu malam ini

Oleh: Aida Abd Rahman



Penyokong pasukan Terengganu yang akan membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu bagi menyaksikan perlawanan bola sepak separuh akhir pada malam ini, diminta supaya menjaga tingkah laku dan menunjukkan disiplin yang tinggi bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta semua rakyat negeri ini memberi sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada pasukan Terengganu yang bakal menentang pasukan jiran, Pahang malam ini.

“Berilah sokongan kepada pasukan Terengganu. Pada masa yang sama, tunjukkan disiplin sepanjang menyaksikan perlawanan malam ini. Jangan lempar benda yang tidak sepatutnya seperti botol air minuman, mercun, bunga api. Kena jaga tatasusila dan disiplin serta tidak mencetuskan provokasi.

“Bersorak boleh dan saya juga insya-Allah akan turut sama memberi sokongan kepada pasukan negeri kita,” katanya ketika sidang media selepas menyampaikan bantuan persediaan Yayasan Terengganu ke Institusi Pengajian Tinggi Peringkat Matrikulasi/Diploma Sesi 2011/2012, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar dan Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Aziz Mamat.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri juga mengharapkan Terengganu mampu mengulangi kejayaan melangkah ke final Piala FA dan mampu membawa pulang piala itu pada musim ini.

Ketika ditanya mengenai imbuhan yang mungkin ditawarkan kepada pemain jika mampu bergelar juara kelak, beliau tidak mahu menjanjikan apa-apa habuan lagi, sebaliknya beliau ingin pemain membuktikan keupayaan terlebih dahulu dan berjaya mara ke final serta menggenggam Piala FA untuk musim ini.

“Kita mahu mereka berjuang sehingga wisel terakhir, barulah kita tahu siapa pemenangnya. Perlawanan bola sepak ini sukar dijangka, kadang-kadang dalam tempoh lima minit tiga gol, kalau tidak mahu gol, sejam setengah pun tiada gol terhasil, “ katanya lagi.

Pasukan Terengganu berkelebihan satu gol selepas menewaskan Pahang, 3-2, dalam perlawanan separuh akhir yang pertama, di Stadium Darul Makmur Jumaat lalu.