Halaman

12 May 2011

Penggunaan tulisan jawi diperluaskan

Oleh: Suriati Ali

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri mengenai premis perniagaan yang meletakkan tulisan jawi pada papan perniagaan akan mendapat tawaran diskaun.

“Kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengurangkan bayaran lesen papan tanda sebagai menggalakkan penggunaan tulisan jawi secara meluas di Terengganu.

“Polisi itu sudah lama dijalankan dan ia masih lagi diteruskan sehingga kini bertujuan menggalakkan masyarakat mengenal dan membaca dalam tulisan jawi,” katanya ketika menjawan soalan Mohd Wahid Endut (Pas- Wakaf Mempelam).

YB Ahmad Razif memberitahu, kerajaan negeri mengadakan kerjasama dengan beberpa agensi, termasuk Jabatan Hal Ehwal Terengganu (JHEAT), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu dalam usaha memartabatkan tulisan jawi dan merancakkan lagi pengguna Bahasa Melayu di kalangan pelajar.

“Syarat utama kemasukan pelajar ke tingkatan satu ke sekolah agama di Terenggani adalah perlu menjalani ujian tulisan jawi dan memilih mereka yang hanya mendapat peratusan tinggi.

“JHEAT pula menyediakan teks kutbah Jumaat, buku program dan kita juga mewajibkan sepanduk dalam perarakan sambutan Maulidur Rasul yang disambut setiap tahun dalam tulisan jawi,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga membina pusat tulisan jawi di di Kuala Berang dan di kawal selia Muzium Negeri Terengganu.