Halaman

20 May 2011

Menangi hati rakyat

Oleh: Esah Abdullah



Pemimpin parti disaran sentiasa memantau dan mengambil tahu apa yang berlaku dalam masyarakat dengan membuat kunjungan lebih kerap untuk bertanya khabar kerana rakyat perlukan sentuhan pemimpin mereka.

“Kalau mahu menangi hati rakyat mestilah rajin bertemu mereka,” kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiu kali ke-23 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim, Bandar Permaisuri, Setiu hari ini.


Hadir sama, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Ketua UMNO Bahagian merangkap Ahli Parlimen Setiu, YB Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri, merangkap Naib Ketua UMNO bahagian, YB Haji Abdul Halim Jusoh dan Adun Jabi, YB Haji Ramlan Ali.

Turut serta, Ketua Pergerakan Wanita UMNO bahagian, Hajah Wan Maznah Nong dan Ketua Pergerakan Puteri, Puan Rosnari Awang Ngah dan lebih 700 perwakilan daripada 150 cawangan dalam bahagian Setiu.

Katanya, berkhidmat dengan ikhlas dan jujur, jangan ada agenda tersembunyi kerana sebagai pemimpin ia menjadi contoh kepada orang yang dipimpin yang perlu mempunyai ketahanan diri serta tidak bersikap pendendam dengan sesiapa.

“ Sebagai orang politik, jangan mudah berkecil hati, jangan mudah ambil hati, jangan mudah makan hati serta jangan mudah membawa hati sebaliknya perlulah berhati-hati,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan sanggup berbelanja besar demi kesejahteraan masyarakat, menjaga kebajikan rakyat kerana golongan inilah yang jadi penentu barisan kepimpinan terus kekal untuk pertahankan kedaulatan bangsa dan agama.