Halaman

11 May 2011

Lima peserta perdengar bacaan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri 2011

Oleh: Aida Abd Rahman



Lima peserta memperdengarkan bacaan masing-masing pada malam pertama Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2011 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, malam tadi.

Johan tilawah peringkat negeri tahun lalu, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, 28, muncul peserta pertama yang membacakan surah al-Baqarah bermula daripada ayat 44.

Beliau yang juga Tutor Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia dari Kampung Gong Kijang, Kuala Terengganu menggunakan Taranum Rast dan Sikah.

Manakala peserta kedua, Hajah Porziah Mamat, 55, yang mewakili daerah Hulu Terengganu memperdengarkan surah al-Maidah, ayat 67 dengan Taranum Hijaz dan Sobah.

Peserta ketiga, qari dari Marang, Encik Zainal Adam, 45, tampil dengan surah al-A’raf ayat 156, diikuti qariah yang mewakili Kuala Terengganu, Cik Nor Jannah Abdul Rahman, 20, memperdengarkan bacaan surah at-Taubah ayat 38.

Peserta terakhir bagi malam pertama, qari dari Kemaman, Encik Mohd Abd Latiffah Shah Che Yusof, 49, pula menampilkan Taranum Nahawand dan Jiharkah menerusi Surah al-Hud ayat 41.

Seramai 16 peserta masing-masing lapan qari dan lapan qariah termasuk dua johan menunggu mengambil bahagian dalam pertandingan kali ini. Pertandingan yang bersambung malam ini akan diteruskan lagi dengan bacaan daripada 11 peserta.

Majlis tilawah al-Quran kali ke-54 yang membawa tema `1 Malaysia, 1 Ummah’ dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Yang DiPertua Dewan Undangan negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Hadir sama, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohd Rozali Salleh.

Majlis penutup tilawah serta penyampaian hadiah dan cenderahati kepada peserta bakal disempurnakan Yang Teramat Mulia, Tengku Sri Laksamana Raja pada malam esok ( 12 Mei) bermula jam 8.30 malam.