Halaman

31 May 2011

Kembara Belia jelajah Terengganu 15 Jun depan

Oleh: Aida Abd Rahman


Golongan belia wajar didekati dengan cara yang bijak. - YB Haji Rozi Mamat.

Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mengadakan Program Kembara Belia Terengganu 2011 selama empat hari bermula 15 Jun depan dalam usaha untuk mengatasi gejala rempit di negeri ini.

Program itu bakal melibatkan 200 buah motosikal dengan jarak perjalanan 800 kilometer yang melalui enam daerah.

Malah, program edisi kedua yang mendapat sokongan penuh kerajaan negeri itu bertujuan mewujudkan generasi belia negeri ini sebagai golongan yang prihatin.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat, berkata golongan tersebut wajar didekati dengan cara yang bijak tanpa menyebabkan mereka terjebak dan tercemar dengan anasir-anasir jahat.

"Tujuan program ini adalah untuk mengawal kegiatan lumba haram dan mengubah mereka dengan menyediakan ruang alternatif untuk mereka mempamerkan kebolehan dalam aktiviti permotoran dengan satu program kemasyarakatan selain menyediakan peluang ekonomi,” katanya ketika sidang media selepas menyaksikan majlis penyerahan cek UMW Penzoil kepada UiTM sebagai sumbangan untuk menjayakan program itu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

UMW Pennzoil Distributors diwakili Pengurus Besar Encik Mohd Ruslan Abdul Ghani, smentara UiTM diwakili Timbalan Pengarah Kampus (Jalinan Penyelidikan dan Industri), Prof Madya Dr Azemi Che Hamid.

Program itu akan melibatkan 300 belia yang terdiri daripada mahasiswa UiTM sendiri selain turut disertai oleh pelajar dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) lain di negeri ini serta belia dari kalangan orang kelainan upaya (OKU).

Kembara akan bermula dari UiTM Dungun sebelum ke Kemaman dan berakhir di Kuala Terengganu.

“Kita telah memilih beberapa kampung untuk bermalam sepanjang program ini dan pelbagai program kemasyarakatan diatur,” kata Prof. Madya Dr Azemi.