Halaman

11 May 2011

Kelas khas al- Quran kembalikan kegemilangan qari, qariah Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Pencapaian qari dan qariah Terengganu kebelakangan ini yang kurang memberangsangkan menyebabkan kerajaan negeri bercadang mewujudkan kelas khas al-Quran secara percuma bagi mempertingkatkan mutu bacaan mereka mulai bulan depan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata langkah itu bagi mengembalikan kegemilangan yang pernah dihasilkan qari dan qariah terdahulu, terutama kejayaan, Haji Daud Che Man dan Dato’ Hajah Rogayah Sulong di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Kita buat keputusan buka kelas khas kepada qari dan qariah supaya membetulkan tajwid dan taranum masing-masing dengan dibimbing Tuan Haji Daud Che Man dan Hajah Rogayah Sulong ini.

“Sebab itu kita minta dibuka satu kelas khas kepada qari dan qariah yang bertanding di peringkat daerah dan negeri pada masa depan,” katanya selepas merasmikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2011, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Kuala Terengganu, malam tadi.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata kelas khas yang dibuka khusus untuk anak Terengganu tidak terhad kepada peringkat umur bagi memastikan penguasaan mereka dalam penyampaian al-Quran dengan kaedah yang betul.

Sementara itu, pertandingan tilawah al-Quran kali ini disertai 16 qari dan qariah menawarkan hadiah wang tunai RM7,000 kepada johan qari dan qariah, di samping piala pusingan, sijil penyertaan dan tambang menunaikan haji.

Naib Johan pula akan menerima wang tunai RM5,000, piala iringan dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga akan menerima RM4,000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Lima peserta memperdengarkan bacaan masing-masing malam tadi dan pertandingan yang bersambung malam ini akan diteruskan lagi dengan 11 peserta.

Majlis penutup tilawah serta penyampaian hadiah dan cenderahati kepada peserta bakal disempurnakan Yang Teramat Mulia, Tengku Sri Laksamana Raja pada malam esok ( 12 Mei) bermula jam 8.30 malam.