Halaman

11 May 2011

Dato’ Haji Ahmad hadir program Sehari Bersama Menteri Besar DUN Batu Buruk

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad, akan menghadiri Program Sehari Bersama YAB Menteri Besar Terengganu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Sabtu ini (14 Mei).

Program tersebut bermula seawal jam 7.30 pagi di mana Menteri Besar akan melawat Masjid Raja, Chendering, yang sedang dalam pembinaan dan mendengar taklimat mengenai projek berkenaan.

Selepas itu, beliau akan menikmati sarapan bersama-sama penduduk setempat dan merasmikan sukaneka rakyat di Pantai Chendering.

Menteri Besar turut diijadualkan menyampaikan bantuan pakaian sekolah dan hadiah kepada mereka yang berjasa di mukim Chendering serta hadiah kepada pemenang pertandingan rumah bersih.

Sejurus itu, beliau akan ke Taman Seri Desa Chendering dan menikmati minum pagi bersama-sama penduduk setempat sebelum menyampaikan hadiah warga berjasa dan pemenang pertandingan rumah bersih Taman Seri Desa.

Kira-kira jam 10 pagi, Menteri Besar akan bertolak ke Pusat Komoditi Chendering bagi menghadiri sukaneka rakyat dan menyampaikan hadiah warga berjasa serta pemenang pertandingan rumah bersih di kawasan itu.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya akan ke Taman Permin Jaya dan beramah mesra dengan penduduk setempat serta menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna.

Kira-kira jam 12.30 tengahari Menteri Besar akan ke Kampung Kubang Ikan bagi menghadiri jamuan rakyat dan menyampaikan hadiah kepada warga berjasa serta pertandingan kebersihan rumah penduduk kampung itu.

Beliau seterusnya akan menunaikan solat zohor di Masjid Ungku Sulong, Kuala Ibai, dan menyampaikan Buku Simpanan Tabung Haji kepada 1,000 penduduk di kampung tersebut.

Selepas itu, beliau akan ke Pusat Komuniti Che Kundur dan menyaksikan pertandingan akhir futsal 3 on 3 serta menyampaikan hadiah kepada warga berjasa di kampung itu.

Menteri Besar akan menunaikan solat Asar di Surau Nurul Hidayah, Kampung Mengabang Tengah dan menyertai gotong royong membaikpulih atap rumah Zainab Kadir dan Che Mariah Che Yunus.

Beliau seterusnya akan menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Penduduk KRT Taman Bukit Bayas dan menyempurnakan majlis penyerahan kunci rumah PPRT Kampung Bukit Depu.

Dato’ Seri Haji Ahmad akan menunaikan solat Maghrib di Masjid Kampung Tok Nasek dan menikmati makan malam bersama penduduk selepas solat Isyak.

Selepas itu, acara kemuncak ialah ceramah perdana dan penyampaian cenderahati kepada pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan warga berjasa mukim Bukit Besar di perkarangan masjid berkenaan.