Halaman

12 May 2011

Atlit Terengganu unggul di Kejohanan Sukan Arafura, Darwin

Oleh: Aida Abd Rahman

Keunggulan prestasi atlit Terengganu dalam bidang sukan di peringkat antarabangsa terus terserlah apabila berjaya meraih empat pingat emas, tujuh pingat perak dan satu gangsa dalam temasya Kejohanan Sukan Arafura 2011 di Darwin, Australia sehingga kelmarin.

Terbaru, atlit lompat pagar, Muhd Ajmal Aiman Mat Hassan meraih sebutir emas dan perak, manakala penembak remaja kebangsaan, Athirah Hamzah mendapat sebutir perak dan gangsa dalam acara air rifle junior berpasukan dan individu.
“Sekarang ini atlit kita menyertai Kejohanan Sukan Arafura di Darwin pada 9 hingga 15 Mei dan saya dimaklumkan pihak pengurusan pertandingan peringkat antarabangsa itu mengenai pencapaian anak Terengganu di temasya itu sehingga semalam sudahpun mendapat 12 pingat dan empat daripadanya pingat emas,” kata YB Haji Rozi Mamat (BN-Telemong), ketika sesi penggulungan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri, semalam.

YB Haji Rozi berkata, ramai anak Terengganu sudah mencipta nama di peringkat antarabangsa dalam bidang sukan khususnya dalam acara berbasikal seperti Mohd Azizulhasni Awang, Fatehah Mustafa, Anuar Manan dan Mohd Harrif Salleh.

“Kerajaan negeri sangat prihatin kerana memberi pelbagai insentif dan penghargaan kepada atlit negeri ini sebagai menghargai kejayaan mereka sejak kebelakangan ini.

“Sukan di Terengganu bukan semata-mata untuk beriadah, tetapi apa yang lebih penting bidang sukan membuka peluang dan ruang untuk atlit meraih pendapatan yang baik dalam sektor itu, “ katanya.

Terengganu menghantar 55 atlit dan 20 pegawai bagi menyertai lima acara dalam sukan hoki wanita, sepak takraw, tinju, menembak dan olahraga dalam Kejohanan Sukan Arafura 2011 di Darwin, Australia.

Pengarah Majlis Sukan Negeri, Encik Zainal Abidin Hussin, berkata ini merupakan kali ketiga Terengganu menyertai kejohanan itu yang bertujuan memberi pendedahan pertandingan bertaraf antarabangsa kepada atlit tempatan.

Beliau berkata, langkah itu juga merupakan sebahagian daripada persiapan negeri ini menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang yang akan diadakan tahun depan.

Katanya, semua atlit yang terpilih menyertai kejohanan tersebut adalah atlit elit yang dijangka mampu menyumbangkan pingat emas pada Sukma tahun depan.