Halaman

04 April 2011

TWIJRC mampu memuaskan hati peserta

Oleh: Suriati Ali

Penganjuran sukan bertaraf antarabangsa Terengganu World Invitational Jet Race Challenge 2011, (TWIJRC) selama tiga hari dan berakhir semalam (3 April) nyata berjaya dan memuaskan hati peserta tempatan dan luar negara.

Sebanyak 25 pasukan dari sembilan negara termasuk Malaysia (12 pasukan) mempamerkan aksi lasak dan penuh konsisten di kejohanan yang berlangsung di Pulau Duyong, Kuala Terengganu.

Teera Settura dari pasukan Settura Racing menjuari kategori Pro Am Runabout 800 Open; Pancho Marjak pasukan Yamaha Finland memenangi dua kategori iaitu Pro Am Runabout Open dan Pro Am Runabout 4 Stroke Stock dan Nur Shahida Mohamad Noor pasukan CTM Racing pula menjuarai Women Runabout Open.

Juara lain, Bryan Chia Wai Yuen kumpulan Meganrata Racing (Novice Runabout 4 Stroke Stock) Ahmad Dawi Alias kumpulan CTM Racing (Veterans Runabout Open) Haniff Sukri dari CTM Racing (Expert Runabout Open).

Tengku Sri Laksamana Raja bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Haji Abdul Rahin Mohd Said hadir menyampaikan hadiah kepada semua pemenang di Majlis Perasmian Penutup.

Hadiah keseluruhan bagi kejohanan itu hampir RM140,000.

Sukan rakyat dan aktiviti sampingan seperti pameran Maritim, pertandingan layang-layang, pertandingan sepak raga bulat, pertandingan sepak bulu ayam, pertandingan bola sepak pantai dan pertandingan menangkap itik turut dianjurkan sempenan kejohanan itu bagi memperkenalkan adat dan permainan tradisional Terengganu kepada masyarakat asing.

Tinjauan pemberita Teganukita mendapati, rata-rata warga asing termasuk dari Amerika Syarikat, Singapura dan Thailand terpegun dengan keunikan permainan sukan rakyat. Terdapat di antara mereka berani mencuba walaupun kelihatan agak kaku.