Halaman

11 April 2011

Tuanku Mizan sertai sukan lumba kuda

Oleh: Suriati Ali


Menteri Besar Terengganu mengiringi Tuanku Mizan Zainal Abidin sebelum mencemar duli menyertai Sukan Lumba Kuda al-Kathiri kategori 80km di TIEP, Lembah Bidong, Setiu. - Foto: Harish Fadzillah.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin memenangi tempat ketiga dalam acara Sukan Lumba Kuda al-Kathiri bagi kategori senior 80 kilometer (km) di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong, Setiu, yang berakhir semalam (10 April).

Tempat pertama bagi kategori sama dimenangi Encik Shahruddin Dato’ Haji Abdullah manakala Yang Amat Mulia Dato’ Sri Tengku Sri Temenggong muncul naib johan.

Penaja utama kejohanan, Syeikh Abdullah Salleh al-Kathiri menyempurnakan acara pelepasan bagi kejohanan yang diadakan selama dua hari bermula 8 April.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan beberapa pegawai kanan kerajaan.



Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail meraih tempat kedua bagi kategori junior 80 km, manakala juara disandang Azizatul Asma Dato’ Abdullah dan ketiga Noor Nerina Ernie Hashim.

Bagi kategori 40 km, Mohd Yusran Yusuf mengungguli tempat pertama, Mohammad Azwan Bidin (kedua) dan Md Firdaus Hamid memenangi tempat ketiga.



Dua lagi anakanda baginda Tengku Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahrah turut menyertai sukan lasak bagi kategori 40 km.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah bersama anakanda sulung, Tengku Nadhirah Zaharah berkenan hadir memberi sokongan.